Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes campak naik 300% merata dunia berbanding setahun lalu

Jumlah kes penyakit campak semakin bertambah di merata dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes campak naik 300% merata dunia berbanding setahun lalu

(Gambar fail: Fred Tanneau/AFP)

Diterbitkan : 16 Apr 2019 06:13PM Dikemas Kini : 16 Apr 2019 06:18PM

GENEVA: Jumlah kes penyakit campak semakin bertambah di merata dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan jumlah kes campak meningkat 300 peratus dalam suku pertama tahun ini kepada lebih 112,000 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Penyakit campak berpunca daripada virus dan ia mudah berjangkit serta tersebar menerusi udara. Ia juga boleh membawa maut kepada kanak-kanak yang menghidapnya.

WHO menyatakan kenaikan kes campak dicatatkan di semua rantau termasuk negara-negara yang mempunyai kadar pemvaksinan yang tinggi bagi mencegah penyakit itu seperti Amerika Syarikat dan Thailand.

Keadaan itu disebabkan oleh penularan penyakit campak dalam kelompok orang yang tidak mendapat suntikan vaksin pencegahnya.

Jumlah kenaikan terbesar kes campak dicatatkan di benua Afrika, bertambah 700 peratus. Di Amerika Syarikat pula, kes campak melonjak 20 peratus dalam masa seminggu lalu.

Penyakit campak boleh dicegah menerusi pemvaksinan dua dos.

Bagaimanapun, menurut WHO, kadar pemvaksinan dos pertamanya di merata dunia tidak berubah di paras 85 peratus sedangkan kadar 95 peratus diperlukan bagi mencegah terjadinya wabak campak.

Beberapa negara seperti Jerman dan Itali menyarankan agar pemvaksinan anti campak diwajibkan.

Sumber : AFP/MU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan