Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes cabul Muhammed Yusoff Rawther: Anwar Ibrahim beri fakta, kerjasama penuh pada polis

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada Khamis (12 Dis) hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan ke atas dakwaan Muhammed Yusoff Rawther bahawa dirinya dicabul pemimpin itu pada 2 Oktober 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes cabul Muhammed Yusoff Rawther: Anwar Ibrahim beri fakta, kerjasama penuh pada polis

Gambar fail Anwar Ibrahim.

Diterbitkan : 12 Dec 2019 08:52PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 08:54PM

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim pada Khamis (12 Dis) hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan ke atas dakwaan Muhammed Yusoff Rawther bahawa dirinya dicabul pemimpin itu pada 2 Oktober 2018.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid, berkata Encik Anwar hadir pada jam 3.45 petang bersama peguam serta setiausahanya.

"Beliau memberi kerjasama yang baik dalam sesi yang berlangsung kira-kira satu jam setengah," kata beliau.

Sementara itu, Anwar dalam satu kenyataan berkata sepanjang proses itu, beliau memberikan fakta dan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

"Sejurus itu, mereka (polis) bersama saya yang turut disertai peguam Ramkarpal Singh telah ke rumah untuk melengkapkan siasatan.

"Saya menghargai tindakan dan layanan pegawai polis yang menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses berlangsung," ujar pemimpin itu.

Pada Rabu (11 Dis), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya akan memanggil Anwar Ibrahim dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Menurut Huzir, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya. Dalam laporan sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Rabu lalu, bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa dirinya dicabul Encik Anwar pada 2 Oktober 2018, namun perkara tersebut dinafikan pemimpin PKR itu, yang mendakwa beliau sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan