Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes bunuh stesen minyak Johor: 2 suspek didakwa

Polis Johor sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kes pembunuhan lelaki berusia 44 tahun di Taman Pelangi, Johor Baru, lewat tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh stesen minyak Johor: 2 suspek didakwa

Encik Mohd Khalil (dua dari kiri) menunjukkan gambar-gambar suspek. (Gambar: The Malay Mail).

Diterbitkan : 11 Jan 2018 10:17AM Dikemas Kini : 11 Jan 2018 10:26AM

PONTIAN: Polis Johor sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kes pembunuhan lelaki berusia 44 tahun di Taman Pelangi, Johor Baru, lewat tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Mohd Khalil Kader Mohd, mengesahkan bahawa dua suspek utama, berusia 19 dan 23 tahun, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh hari ini (11 Jan).

Pada 17 Disember tahun lalu, Tan Aik Chai diserang di stesen minyak di Johor Baru oleh sekumpulan orang yang dua kali melanggarnya dengan kereta BMW 520i berwarna putih.

Insiden itu dirakam oleh seorang saksi dan rakaman video tersebut menjadi tular.

"Dua suspek itu akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 di bawah undang-undang yang sama atas tuduhan membunuh," kata Encik Mohd Khalil.

"Kami (polis) sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kes ini dan keputusan dibuat setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara."

Adalah difahamkan bahawa salah seorang suspek, yang merupakan seorang remaja, juga terlibat dalam jenayah lain dan memiliki pistol semi-automatik CZ dan 20 butir peluru di Mount Austin. Dia juga ditangkap kerana terlibat dalam pergaduhan kumpulan samseng pada 2014.

Suspek berusia 23 tahun pula didakwa dengan beberapa tuduhan jenayah dan dadah. Dia ditangkap di Singapura selepas melarikan diri dengan lima orang lain selepas pembunuhan itu.

Dia ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Singapura di Universal Studios Singapore dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 21 Disember.

Encik Mohd Khalil mengatakan bahawa polis belum lagi berhasil menemui senjata (pisau) yang digunakan dalam pembunuhan itu.

"Para penyiasat sudah mengenal pasti lokasi pisau itu dan sedang berusaha untuk mencarinya," kata beliau yang menambah, polis sedang memburu sembilan lagi suspek lelaki berkaitan kes ini.

Encik Mohd Khalil juga berkata polis sudah mengeluarkan waran untuk menangkap sembilan suspek berkenaan, berusia antara 21 hingga 40 tahun, untuk menjalani siasatan.

Salah seorang daripada sembilan suspek itu adalah lelaki berusia 35 tahun yang mendalangi pembunuhan itu. Suspek juga dikatakan mengetuai kumpulan samseng yang terlibat dalam kegiatan dadah dan samseng.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan