Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes Bunuh CEO Cradle Fund M'sia: Bilik bahan bukti hanya simpan barang kes, kata saksi

Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, pada Isnin (29 Jun)diberitahu hanya barang kes yang diambil dari bilik Nazrin sahaja disimpan dalam bilik bahan bukti sementara bomba Selangor pada Jun 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Bunuh CEO Cradle Fund M'sia: Bilik bahan bukti hanya simpan barang kes, kata saksi

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 08:17AM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 08:23AM

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, pada Isnin (29 Jun)diberitahu hanya barang kes yang diambil dari bilik Nazrin sahaja disimpan dalam bilik bahan bukti sementara bomba Selangor pada Jun 2018.

Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Che Daud Adli Yusof Che Man, 55, berkata ini kerana beliau perlu dimaklumkan tentang setiap barang bukti yang disimpan dalam bilik itu.

"Ada 192 kes kebakaran pada Jun 2018 membabitkan kebakaran struktur iaitu kebakaran rumah.

"Tetapi pada bulan enam (Jun) itu, hanya satu (sekali) sahaja penggunaan bilik simpan bahan bukti sementara iaitu untuk kes ini (kes bunuh Nazrin)," katanya ketika disoal balas oleh peguam bela Encik Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman di sini.

Terdahulu, Encik Muhammad Shafee bertanyakan mengenai penggunaan bilik bahan bukti sementara itu sama ada ia turut digunakan untuk menyimpan bahan bukti kes lain.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata bilik bahan bukti sementara yang terletak di pejabat Bahagian Siasatan Kebakaran, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor itu di bawah seliaannya.

"Yang bertanggungjawab pegang kunci saya seorang, siapa (pegawai dan anggota) yang nak guna bilik itu kena hubungi saya.

"Saya pasti tiada mana-mana pihak yang letak barang kes (lain) dalam bilik itu sebab tiada permintaan dan tiada yang memaklumkannya pada saya," katanya.

Beliau turut memberitahu, sepanjang menyelia bilik tersebut sejak 2016, tiada kes yang membabitkan bahan bukti dalam bilik itu bertukar atau hilang.

Isteri Encik Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh mangsa.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dengan 4.00 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan