Images
  • crime
    Gambar hiasan.

Kes bunuh budak 6 tahun: Remaja lelaki Rohingya, ibu kandung didakwa

KUALA LUMPUR: Bapa tiri serta ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun yang ditemui mati di depan sebuah pusat beli-belah di Malaysia, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang hari ini (22 Mei) berhubung kes itu.

Lelaki kaum Rohingya berusia 17 tahun itu didakwa membunuh kanak-kanak berkenaan dan menganggguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Remaja yang menganggur itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian mangsa yang juga pemegang kad UNHCR di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Mamada 5, Ampang antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 11 Mei lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati wajib, jika didapati bersalah.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa memohon satu tarikh sebutan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan forensik.

Mahkamah menetapkan 1 Sep untuk sebutan semula kes. Tertuduh diwakili peguam Svetlana Nordin. 

Di Mahkamah Sesyen pula, ibu kepada mangsa berumur 23 tahun yang juga pemegang kad UNHCR mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara cuai mengabaikan anaknya dengan cara mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan lokasi yang sama. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,283) atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan kerana kes itu serius dan tidak boleh dijamin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Hakim Azrul Darus tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes. 

Media sebelum ini melaporkan, mayat kanak-kanak perempuan warga asing ditemui di depan kedai makan sebuah pusat beli-belah di Ampang dalam keadaan terbaring serta masih berpakaian lengkap pada 11 Mei lalu.

- BERNAMA/HA/ha

Top