Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes bunuh Altantuya: Permohonan suaka Sirul Azhar Umar ditolak; mungkin dihantar pulang ke M'sia

Rayuan Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi yang dijatuhi hukuman mati pada 2015 dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, untuk mendapatkan suaka politik di Australia, ditolak pada Isnin (18 Feb). Malah dia mungkin dihantar pulang jika Malaysia memansuhkan hukuman mati.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh Altantuya: Permohonan suaka Sirul Azhar Umar ditolak; mungkin dihantar pulang ke M'sia

(Gambar: PDRM, AFP)

Diterbitkan : 20 Feb 2019 06:21PM Dikemas Kini : 20 Feb 2019 06:25PM

KUALA LUMPUR: Rayuan Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi yang dijatuhi hukuman mati pada 2015 dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, untuk mendapatkan suaka politik di Australia, ditolak pada Isnin (18 Feb). Malah dia mungkin dihantar pulang jika Malaysia memansuhkan hukuman mati.

Stesen penyiar Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Rabu (20 Feb) melaporkan bahawa mahkamah negara itu menolak rayuan Sirul atas alasan kesalahan yang dilakukannya bukanlah satu jenayah politik.

“Terdapat alasan untuk mempertimbang bahawa pemohon telah melakukan satu kesalahan serius di Malaysia yang bukan jenayah politik sebelum memasuki Australia,” putus mahkamah itu.

Ia turut mendapati bahawa tiada cadangan yang menunjukkan “bahawa pembunuhan atas arahan pemimpin negara akan terjumlah kepada satu jenayah politik.”

Sirul yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, dijatuhi hukuman mati di Malaysia pada 2015 bersama-sama rakan sekerjanya, Azilah Hadri dalam kes pembunuhan Altantuya.

Mereka didapati menembak Altantuya beberapa kali di bahagian kepala mangsa di kawasan belukar di luar Kuala Lumpur pada 2006 dan didakwa meletupkan mayat mangsa dengan bahan letupan gred tentera.

Azilah kini meringkuk dalam penjara namun Sirul, seorang bekas koperal polis, mendakwa bahawa dia tidak bersalah dan diarahkan oleh orang atasannya untuk melakukan pembunuhan itu.

Sirul berada di pusat tahanan Villawood, Sydney selama lebih empat tahun selepas melarikan diri ke Australia pada 2014 ketika dibebaskan dengan jaminan. Menjadi dasar Australia untuk tidak menghantar pulang rakyat mana-mana negara yang berdepan hukuman mati di negara asal.

Altantuya pernah bertugas sebagai penterjemah dalam perjanjian pembelian kapal selam bernilai US$1 bilion (S$1.36 bilion) antara Malaysia dan Perancis yang diselubungi pelbagai dakwaan rasuah dan sogokan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan