Kes baru COVID-19 kembali meningkat di China
Tanah besar China melaporkan 30 kes baru COVID-19 pada Sabtu (4 Apr) berbanding 19 pada hari sebelumnya, sedang jumlah kes melibatkan pelawat dari luar negara dan juga jangkitan dalam kalangan masyarakat China sendiri terus meningkat.
BEIJING: Tanah besar China melaporkan 30 kes baru COVID-19 pada Sabtu (4 Apr) berbanding 19 pada hari sebelumnya, sedang jumlah kes melibatkan pelawat dari luar negara dan juga jangkitan dalam kalangan masyarakat China sendiri terus meningkat.
Ini mencerminkan betapa sukarnya untuk memutuskan rantaian penularan dan jangkitan virus yang boleh membawa maut itu.
Dalam kenyataannya pada Ahad (5 Apr), Suruhanjaya Kesihatan Nasional mendedahkan bahawa 25 daripada kes-kes baru melibatkan pelawat dari luar negara berbanding hanya 18 kes sedemikian sehari sebelum itu. Lagi lima jangkitan tempatan turut dilaporkan, dengan kesemuanya dari wilayah Guangdong.
Jumlah terkumpul di tanah besar China adalah seramai 81,669, sedang angka korban pula naik tiga kepada 3,329.
Meskipun jumlah jangkitan harian merosot dengan ketara berbanding kemuncak pandemik di China pada Februari, di mana beratus-ratus kes baru dilaporkan setiap hari, Beijing masih belum dapat membendung jangkitan baru meskipun langkah-langkah drastik sudah dikuatkuasakan untuk menyekat penularannya.
Turut menjadi keprihatinan China sejak beberapa minggu kebelakangan ini adalah kes-kes import dan kemunculan para pesakit yang sebelum ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan tetapi kini menjangkiti orang lain.
China sudahpun menutup sempadan-sempadannya kepada hampir semua warga asing sedang virus itu menular ke merata dunia, meskipun kebanyakan kes import melibatkan rakyat China yang pulang dari luar negara.
Pemerintah pusat juga menggesa pihak berkuasa setempat supaya segera mengenal pasti dan mengasingkan para pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala.
Menurut suruhanjaya tersebut, 47 kes tanpa gejala dilaporkan di tanah besar China semalam berbanding 64 pada hari sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.