Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes baru COVID-19 di M'sia melonjak ke 3,120, lagi 23 kematian

Kes baru COVID-19 di Malaysia hari ini (4 Mei) mencatat peningkatan dengan 3,120 kes berbanding 2,500 kes semalam, menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara tersebut kini 420,632 kes.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes baru COVID-19 di M'sia melonjak ke 3,120, lagi 23 kematian

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 May 2021 09:10PM Dikemas Kini : 04 May 2021 09:15PM

KUALA LUMPUR: Kes baru COVID-19 di Malaysia hari ini (4 Mei) mencatat peningkatan dengan 3,120 kes berbanding 2,500 kes semalam, menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara tersebut kini 420,632 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Twitternya berkata daripada jumlah itu dalam tempoh 24 jam lepas, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408).

Ia diikuti Johor dengan 336 kes; Kelantan (296); Pulau Pinang (167); Kedah (155); Perak (117); Negeri Sembilan (95); Sabah (89); Terengganu (53); Melaka (52); Pahang (41); Putrajaya (11); Labuan (lima) sementara Perlis tidak merekodkan sebarang kes baru.

Dalam kenyataan media itu, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,334 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 387,542 kes manakala kes aktif kini 31,516.

Katanya sejumlah 338 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 181 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,574 kes, susulan 23 kematian baru dilaporkan hari ini.

Jelasnya, terdapat 17 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh kluster komuniti, lima kluster tempat kerja, empat kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan satu kluster keagamaan. 

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Bungey dan Kluster Batu 25 di Sarawak; Kluster Tangkis Selatan dan Kluster Jalan Surian di Johor; Kluster Batu 30, Kelantan; Kluster Jerai Maju, Kedah dan Kluster Layangan Labuan di Labuan.

Kluster tempat kerja pula ialah Kluster Taming Jaya, Selangor; Kluster Persiaran Medini Sentral, Johor; Kluster Jalan Kweng Hitam, Kelantan; Kluster Jalan Yahya 2, Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Besar Sungai Jawi, Pulau Pinang. 

Selain itu, kluster pendidikan lain melibatkan Kluster Dah Kilometer Tujuh, Kedah; Kluster Lubuk Katak, Perak; Kluster D'Kuala, Sabah; manakala kluster institusi pendidikan KPM ialah Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz, Johor; sementara kluster keagamaan ialah Kluster Taman Sri Lambak di Johor.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan