Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes baru COVID-19 di M'sia kembali ke paras 1 angka

Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatat satu angka dengan sembilan kes dilaporkan hari ini (11 Ogos) yang membabitkan lima kes import dan empat penularan dalam negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes baru COVID-19 di M'sia kembali ke paras 1 angka

Dr Noor Hisham Abdullah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 09:39PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 09:41PM

KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatat satu angka dengan sembilan kes dilaporkan hari ini (11 Ogos) yang membabitkan lima kes import dan empat penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu ialah sebanyak 9,103 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 169.

“Daripada sembilan kes baru dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Lima kes import tersebut adalah masing-masing satu kes dari Jepun, India, Pakistan, New Zealand dan Singapura,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua empat kes penularan dalam negara pula adalah dalam kalangan bukan warganegara melibatkan tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal dan satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kes penularan dalam negara yang membabitkan warganegara tempatan dilaporkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat enam kes pulih yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,809 atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas perkembangan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan kluster Kurau, Dr Noor Hisham berkata tiada kes baru dilaporkan hari ini menjadikan kes positif COVID-19 bagi kedua-dua kluster masing-masing kekal sebanyak 45 dan lima kes.

Ia membabitkan saringan ke atas 5,645 individu dalam Kluster PUI Sivagangga dan 180 lagi dari Perak dan Pulau Pinang bagi kluster Kurau.

Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster, katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan