Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes Anwar Ibrahim akan disiasat dengan telus dan adil, tegas PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan kes melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Anwar Ibrahim akan disiasat dengan telus dan adil, tegas PDRM

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 02:23PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 02:25PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan kes melibatkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman, Encik Huzir Mohamed berkata semua pihak perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis supaya ia dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil.

"Tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam," katanya dalam kenyataan hari ini (17 Okt).

Encik Huzir menjelaskan rakaman percakapan Ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman semalam berhubung penyiasatan ke atas enam kes termasuk penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Siasatan diklasifikasikan mengikut Kanun Keseksaan (mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam.

Menurut Encik Huzir, hingga kini sebanyak 113 aduan polis diterima termasuk aduan daripada Ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang itu.

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat.

“Penyebaran kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya.

Encik Huzir berkata selain keterangan melibatkan penyebaran senarai nama tersebut, rakaman percakapan ke atas Encik Anwar turut melibatkan lima kes lain iaitu isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Siasatan juga melibatkan kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam; video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam negara Malaysia dan sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan