Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kertas Pandora: Bekas menteri kewangan Malaysia berkata semua urus niaga adalah sah

Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin mengaskan semua urus niaga yang dijalankannya, seperti didedahkan dalam Kertas Pandora, adalah sah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kertas Pandora: Bekas menteri kewangan Malaysia berkata semua urus niaga adalah sah

Mantan menteri kewangan Malaysia, Daim Zainuddin. (Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 09:44PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:45PM

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin mengaskan semua urus niaga yang dijalankannya, seperti didedahkan dalam Kertas Pandora, adalah sah.

Portal berita Malaysiakini melaporkan pada Isnin (4 Okt) bahawa dokumen menunjukkan bahawa syarikat dan firma pemegang amanah luar pesisir yang dipegang isteri, anak-anaknya atau rakan niaga yang dikenali bernilai sekurang-kurangnya £25 juta (RM141.6 juta).
Menjawab artikel itu, Encik Daim mengkritik apa yang disifatkannya sebagai "obsesi tidak berkesudahan" terhadapnya, susulan laporan berhubung firma pemegang amanah luar pesisir yang berkaitan dengannya.

Daim berkata bukan semua pemegang amanah yang disenaraikan adalah miliknya dan semua urus niaga yang dijalankannya adalah sah.

Menurutnya pemegang amanah adalah sebahagian daripada "perancangan harta pusaka" memandangkan beliau telah bersara daripada perniagaan.

Justeru, beliau berkata laporan yang menyiratkan salah laku secara innuendo dan spekulasi adalah "tidak profesional" dan satu percubaan untuk mencemarkan nama baiknya.

Menurut Daim, sebahagian pemegang amanah yang disebut dalam laporan Malaysiakini adalah milik anak-anaknya sementara yang lain berkaitan dengan sebuah bank Swiss miliknya, ICB Banking Group, yang telah dinyah senarai selepas dia tidak lagi mahu menghadiri mesyuarat di luar negara.

Katanya lagi, dia sentiasa membayar cukai bagi semua pelaburan dan hartanah dan menjadi ahli perniagaan yang "berjaya dan kaya" atas usaha sendiri.

"Saya sudah terlibat dalam perniagaan sejak 1960-an. Sudah lebih 60 tahun, separuh abad sejak itu.

"Saya fikir sedikit pengiktirafan perlu diberikan kepada seorang warga Malaysia yang berjaya membawa nama negara dalam perniagaan di sini dan seluruh dunia," katanya lagi.

Laporan Malaysiakini itu juga menyebut Singapura, sebagai pintu masuk yang popular untuk rakyat Malaysia yang berkuasa dan kaya untuk memindahkan aset mereka ke tempat perlindungan cukai.

Didapati lebih 10,000 dokumen yang dibocorkan daripada penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Singapura Asiaciti dan Trident Trust dikaitkan dengan individu warga Malaysia.

Lebih banyak dokumen berkaitan dengan urus niaga luar negara orang kaya Malaysia juga terdapat dalam kebocoran daripada penyedia perkhidmatan di Hong Kong atau di Caribbean.

Mereka termasuklah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pengerusi eksekutif Westports G Gnanalingam.   

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan