Images
  • Japan train
    Gambar hiasan. (Gambar: BEHROUZ MEHRI / AFP)

Kereta api Jepun tinggalkan stesen 20 saat lebih cepat, syarikat pengendali mohon maaf

JEPUN: Di Singapura sejak akhir-akhir ini, ramai orang sudah banyak kali terlewat sampai destinasi seperti ke tempat kerja atau pulang kerana kegenjotan perkhidmatan. Masalah isyarat kereta api lah, gangguan sofwe lah, kereta api berlanggar lah… ada sahaja puncanya.

Tapi di Jepun, syarikat kereta api ini terpaksa meminta maaf secara formal kepada para penumpang hanya kerana kereta apinya berlepas 20 saat lebih awal! Ya, 20 saat! Bukan 2 minit atau 20 minit.

Jepun sememangnya terkenal dengan khidmat kereta api yang laju, cekap dan tepat pada masa.

Laluan Tsukuba Express, yang dikendalikan oleh syarikat Metropolitan Intercity Railway di daerah Tokyo, menghubungkan Akihabara di Tokyo dengan Tsukuba di wilayah Ibaraki. Jaraknya kurang daripada 64 kilometer, lapor laman Independent.

Menurut laporan Japan Today, seperti yang ditukil SoraNews24 pada minggu ini, syarikat itu memohon maaf menerusi lamannya kepada para penumpang yang terjejas. “Kami memohon maaf atas kesulitan yang menjejas para penumpang kami,” bunyi permohonan maaf tersebut.

Menurut laporan itu lagi, kereta api yang menghala ke utara itu meninggalkan Stesen Minami Nagareyama pada pukul 9.44 pagi pada setiap hari biasa.

Bagaimanapun, pada 14 November, kereta api meninggalkan stesen pada pukul 9:43:40 – 20 saat lebih cepat daripada biasa.

Syarikat itu menyatakan “kebanyakan orang mungkin tidak menyedari perbezaan 20 saat itu”, namun ia menambah “kereta api Jepun lazimnya tepat pada masa, sehingga sesetengah penumpang merancang perjalanan (mengikut jadual kereta api) supaya mereka tiba di platform (kereta api) sebaik saja kereta api sampai”.

Syarikat itu menambah, sekurang-kurangnya beberapa penumpang akan terlepas kereta api jika ia meninggalkan stesen 20 saat lebih awal daripada biasa. Ini walaupun sebuah lagi kereta api akan tiba dalam masa empat minit kemudian, lapor Independent.

Malah, tambahan lagi empat minit kepada masa perjalanan akan menyebabkan para penumpang terlepas kereta api lain yang perlu dinaiki untuk sampai ke destinasi dan ini akan menyebabkan mereka lambat sampai ke sekolah atau tempat kerja.

Menurut syarikat itu lagi, “meskipun perbezaan masa itu tidak ketara, ia tetap mengganggu dan berpotensi menyebabkan rasa malu bagi mereka yang terjejas, dan ini semua kerana syarikat Metropolitan Intercity Railway tidak menepati janjinya bahawa kereta api akan meninggalkan stesen pada pukul 9.44 pagi dan bukan pukul 9:43:40 pagi”.

“Walaupun ia bukan kesilapan yang amat memerlukan permohonan maaf, tidak salah jika (kami) mengambil kesempatan meminta maaf atas sebarang masalah yang disebabkan oleh kereta api meninggalkan stesen lebih awal,” tambah syarikat itu.

Mungkin inilah standard atau piawai yang, kalau boleh, diterapkan kepada sistem pengangkutan Singapura suatu hari nanti.

- Agensi berita/NK/nk

Top