Images
  • mahathir (5)
    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Kerajaan sedang berusaha sedaya upaya bawa pulang Jho Low, tegas Mahathir

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha keras untuk membawa pulang ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low untuk menghadapi tindakan undang-undang terhadap peranannya dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata maklumat mengenainya tidak mudah diperolehi.

"Saya dimaklumkan bahawa dia mungkin memegang beberapa pasport dan (mungkin) membuat perubahan pada mukanya. (Tetapi) semua perkara ini adalah khabar angin.

“Kita tidak mempunyai bukti tetapi ia boleh berlaku. Ini membuatkan kita sukar menjejaki dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen ke-15 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) hari ini (7 Nov).

Semalam, Ketua Polis Negara Encik Abdul Hamid Bador berkata polis percaya bahawa Jho Low masih bersembunyi di sebuah 'negara terpencil' tetapi enggan mendedahkan lokasi terkini Jho Low.

Menjawab soalan media, Dr Mahathir berkata Abdul Hamid akan memaklumkan kepadanya tentang perkembangan pencarian Jho Low dari semasa ke semasa.

“Beliau tidak memberitahu saya di mana dia (Jho Low) dijumpai, jadi saya tidak tahu. Tetapi tidaklah setiap kali beliau tahu di mana Jho Low berada beliau akan menelefon saya... bukan begitu. Sekali-sekala beliau akan melaporkan kepada saya,” kata Perdana Menteri.

Mengenai persoalan lain, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak berhasrat untuk berperang semata-mata kerana Jho Low.

"Kita boleh berperang tetapi kita akan kalah perang dan kita tidak dapat Jho Low juga. Kita sedar bahawa kita bukan negara yang kuat, kadang-kadang orang berbuat baik kepada kita, kadang-kadang tidak," katanya.

Semalam, Encik Abdul Hamid melahirkan rasa kecewa dengan kurangnya bantuan dari negara tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia. 

- BERNAMA/NA/na

Top