Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan Persekutuan setuju royalti minyak langsung disalurkan kepada negeri

Kerajaan Persekutuan Malaysia setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan Persekutuan setuju royalti minyak langsung disalurkan kepada negeri

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Jun 2018 06:52PM Dikemas Kini : 07 Jun 2018 06:56PM

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan Malaysia setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan hari ini (7 Jun).

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan bahawa negeri-negeri berkaitan termasuk Terengganu, akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.

“Ia dipersetujui secara prinsip. Quantum akan dibincang selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

“Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Teregganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara langsung,” kata Dr Ahmad Samsuri.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

TERENGGANU TERIMA ROYALTI BUAT PERTAMA KALI DALAM TEMPOH HAMPIR 20 TAHUN

Ia merupakan mesyuarat pertama Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Dr Mahathir setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu. 

Terengganu tidak menerima royalti minyak sejak tahun 2000, sebaliknya menerima wang ihsan. Sabah dan Sarawak pula menerima lima peratus royalti minyak manakala Kelantan menerima wang ihsan minyak sejak 2010. 

Dr Ahmad Samsuri berkata wang ihsan itu disalurkan kepada agensi pusat di negeri-negeri seperti Jabatan Pembangunan Pesekutuan sebelum ini. 

“(Royalti minyak) akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri tidak kira dari parti mana, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Berhubung peruntukan untuk anggota Parlimen yang diumumkan Dr Mahathir semalam, Dr Ahmad Samsuri berkata Terengganu menghargai pemberian yang diberikan. 

BANTUAN KERAJAAN TANPA KIRA PARTI POLITIK

“Saya ucapkan terima kasih walaupun jumlah tidak sama tetapi pemberian tetap pemberian... sedikit atau banyak ia satu perkara kita hormati. 

“Kita amat menghargai komitmen kerajaan pusat untuk membantu kerajaan negeri tanpa mengira parti politik,” katanya. 

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 (S$168,000) kepada setiap anggota Parlimen Pakatan Harapan manakala RM100,000 (S$33,500) bagi anggota Parlimen pembangkang.

Ditanya sama ada peruntukan akan diberi kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Terengganu, Dr Ahmad Samsuri berkata: “Kita akan lihat status kedudukan kewangan kerajaan negeri sebelum membuat keputusan”.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan