Images
  • anwar ibrahim
    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Kerajaan perlu kaji semula kadar kemiskinan di M'sia: Anwar

KOTA KINABALU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengkaji semula kadar kemiskinan di Malaysia berikutan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di negara itu adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti dilaporkan pada 2016.

Beliau berkata kajian mengenai kadar kemiskinan di Malaysia harus diukur atau dikaji menggunakan kaedah betul bagi memastikan hasil kajian yang tepat.

“Saya melihat di mana-mana kampung atau kawasan Felda di Malaysia mempunyai rakyat yang miskin iaitu mereka yang berpendapatan rendah. Oleh itu, saya berpendapat kadar sebenar kemiskinan di negara ini mungkin lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

“Saya juga berpendapat bahawa apa yang dikatakan Pelapor Khas Mengenai Kemiskinan Melampau dan Hak Asasi PBB, Profesor Philip Alston, mendakwa Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang “sangat ketara" dan kadar sebenar kemiskinannya ialah kira-kira 15 peratus adalah benar,” ujar Encik Anwar.

Beliau berkata demikian di Dialog ‘Digital Native Agenda (DNA23) The Challenges And Way Forward’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu pada sebelah malam Selasa (17 Sep).

PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN KERAJAAN TERDAHULU TIDAK TELUS

Pada masa yang sama, Encik Anwar berkata cara kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) melaksanakan program membasmi kemiskinan di Malaysia tidak telus dan mempunyai banyak jurang.

“Sehingga RM28 bilion (S$9 bilion) setahun disalurkan untuk bantu orang miskin namun ia bocor dan bukan nelayan atau petani pun dapat bantuan…kenapa dia dapat? Sebab dia ketua cawangan parti berkenaan.

“Oleh itu, kita tidak mahu ia berlaku lagi. Bantuan harus sampai kepada golongan sasar. Kita perlu kenal pasti pelaksanaan. Jangan lagi ada rasuah dan masalah ketirisan,” tambahnya.

PERJELAS DAKWAAN SABAH DIANAKTIRIKAN

Mengenai isu dakwaan Sabah dianaktirikan oleh kerajaan pusat, Encik Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata kerajaan dahulu sehingga kini, yang diterajui Pakatan Harapan, tidak pernah menganaktirikan Sabah dan Sarawak.

“Ia hanya sentimen yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Kalau dahulu orang cakap kerajaan pusat “rompak” kekayaan di Sabah contohnya kayu balak, ia tidak terjadi sebab yang merompak itu adalah pemimpin Sabah sendiri dan ada juga pemimpin daripada pusat yang sama-sama merompak.

“Kalau mereka tidak merompak hasil kayu balak Sabah selama 20 tahun, sudah semestinya ia dapat membangunkan lagi negeri Sabah,” jelas Encik Anwar.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top