Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan nafi dakwaan pelajar Hindu dipaksa belajar Pendidikan Islam

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini (5 Feb) menafikan laporan media mengenai seorang murid beragama Hindu yang dipaksa belajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Seremban.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan nafi dakwaan pelajar Hindu dipaksa belajar Pendidikan Islam

Gambar fail pelajar di sekolah Malaysia. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 05 Feb 2019 10:09PM Dikemas Kini : 05 Feb 2019 10:16PM

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini (5 Feb) menafikan laporan media mengenai seorang murid beragama Hindu yang dipaksa belajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Seremban.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Amin Senin sebaliknya berkata pihak sekolah tidak pernah memaksa pelajar berkenaan mengikuti Pendidikan Islam dan semakan KPM mendapati murid berkenaan mengikuti subjek Pendidikan Islam sejak memasuki alam persekolahan pada 2017 sehingga tahun ini.

"Pihak sekolah membolehkan murid berkenaan mengikuti Pendidikan Islam berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu," kata Dr Amin Senin.

Beliau menambah, murid terbabit diberikan kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftarkan sebagai murid tanpa dokumen.

"Bagaimanapun, sehingga kini ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana yang disyaratkan," katanya.

Semakan terperinci KPM menyusuli laporan media mendapati murid berkenaan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang beragama Islam dan ibunya juga seorang beragama Islam.

Di bawah Akta Pendidikan 1996, setiap murid beragama Islam perlu mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

Pihak sekolah berkenaan mematuhinya berdasarkan bukti murid berkenaan adalah seorang yang beragama Islam. Oleh itu, katanya, tidak timbul isu murid terbabit dipaksa mengikuti Pendidikan Islam.

"KPM memahami situasi yang dihadapi ibu bapa murid berkenaan. Bagaimanapun memandangkan kes status agama ibu murid terbabit dalam proses rayuan di mahkamah, KPM menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan," katanya.

Dr Amin berkata tindakan sewajarnya akan diambil kementerian selaras dengan keputusan mahkamah kelak. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan