Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia peruntuk lagi RM600 juta bagi lawan COVID-19

Kerajaan Malaysia akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta (S$196 juta) kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baru secara kontrak, terutamanya jururawat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia peruntuk lagi RM600 juta bagi lawan COVID-19

Gambar fail para pekerja jagaan kesihatan di Malaysia membuat saringan COVID-19. (Gambar: Noor Hisham Abdullah/ Facebook

Diterbitkan : 23 Mar 2020 05:14PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 05:18PM

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta (S$196 juta) kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baru secara kontrak, terutamanya jururawat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan RM500 juta (S$163 juta) akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” katanya semasa sidang media hari ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio serta media sosial.

Encik Muhyiddin berkata, peruntukan RM100 juta (S$32 juta) disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan barusecara kontrak, terutamanya jururawat. 

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID-19”, ujarnya.

Pandemik COVID-19 yang bermula di China pada Disember tahun lalu kini melanda dunia dengan Malaysia turut tidak terkecuali dengan catatan kes pertama dilaporkan pada 25 Januari.

Setakat tengah hari ini, 11 kematian dicatat di Malaysia dengan lebih 1,300 kes dilaporkan positif COVID-19.

DISOAL TENTANG HARGA, BEKALAN PELITUP

Di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) itu,  Muhyiddin turut ditanya mengenai harga pasaran penutup mulut dan hidung serta kesukaran memperolehinya berikutan kekurangan bekalan peralatan tersebut.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata beliau sudahpun mengarahkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi untuk berbincang dengan pengeluar dan menetapkan harganya mengikut harga kawalan.

(Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

(Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

“Ini supaya harga yang ditetapkan dengan harga kawalan itu diteliti supaya tidak terlalu tinggi kerana ini adalah situasi krisis dan kita harap pihak yang bertanggungjawab akan memastikan, pertama, pihak kilang mempunyai bekalan yang mencukupi dengan harga berpatutan,” jelas beliau.

Keduanya, kata Encik Muhyiddin, terdapat kira-kira lima kilang dalam negara yang mengeluarkan penutup mulut dan hidung meneruskan operasi pengeluaran serta membekalkannya untuk pasaran tempatan. 

“Saya dimaklumkan mereka berhadapan dengan sedikit masalah iaitu mendapatkan bahan mentah untuk mengeluarkan penutup itu yang sebahagian besar diimport dari luar negara,” katanya.

Encik Muhyiddin berharap masalah itu akan dapat diatasi dan kapasiti pengeluaran sebanyak dua atau tiga juta keping pelitup setiap bulan dapat diusahakan untuk menampung bekalan dalam negara, apatah lagi larangan pengeksportan penutup mulut dan hidung sudah dikuatkuasakan.

Kerajaan juga meluluskan pengimportan 10 juta keping penutup hidung dan mulut dari China.

“Harga yang saya diberitahu adalah RM1.18 sen seunit. Bila sampai, saya nak umum. Kita akan agihkan secara percuma kepada seluruh rakyat yang memerlukan. Itu sumbangan kerajaan dalam krisis yang sedang kita hadapi ini,” katanya.

Mengenai kebimbangan pekerja atau pendatang asing mengenai kadar bayaran ketika membuat saringan kesihatan di hospital kerajaan, Encik Muhyiddin menegaskan COVID-19 kini menjadi soal keselamatan dan apa yang penting adalah mereka tampil melakukan saringan kesihatan sekali gus membendung penularan wabak COVID-19.  

Mengenai sama ada kerajaan akan mengawal kadar bayaran ujian saringan COVID-19 yang dikenakan hospital swasta, beliau berkata: “Setakat ini, kita tak kawal kerana memang pun apabila dibuat saringan oleh pihak kerajaan, kita tanggung kos RM700 (S$230) satu kepala bukan percuma. Jadi swasta perlu tentukan kadar berpatutan dalam 500 dan 600 ringgit (S$164-S$197) mengikut keadaan pasaran.” 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan