Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia, Pakatan Harapan cipta sejarah meterai MOU Transformasi dan Kestabilan Politik

Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini (13 Sep) melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia, Pakatan Harapan cipta sejarah meterai MOU Transformasi dan Kestabilan Politik

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 06:50PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 06:51PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini (13 Sep) melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda.

Beliau berkata agenda berkenaan merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu. 

Katanya, ia juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia makmur, inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sebaik memorandum itu selesai ditandatangani perdana menteri bersama ketua-ketua parti PH di bangunan Parlimen.

Ia membabitkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Wilfred Madius Tangau.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara Dr Rais Yatim.

Encik Ismail Sabri berkata transformasi yang diperkenalkan kerajaan itu bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan kondusif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

“Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan