Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia jamin stesen minyak tidak akan kering

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan petrol dan diesel sentiasa ada dan mencukupi untuk penjualan harian di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha kementerian itu, Jamil Salleh.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia jamin stesen minyak tidak akan kering

Stesen Petronas (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 27 Dec 2018 12:59PM Dikemas Kini : 27 Dec 2018 01:06PM

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan petrol dan diesel sentiasa ada dan mencukupi untuk penjualan harian di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha kementerian itu, Jamil Salleh.

Beliau menyangkal dakwaan yang menjangkakan pengguna mungkin berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini, sambil berkata bahan api petrol dan diesel diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.

"Oleh itu kerajaan akan memastikan bahawa pembekalan barang berjadual tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna pada setiap masa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (26 Dis).

Pada Selasa, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia Abu Samah Bachik mendakwa pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Beliau dilaporkan berkata ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini menerusi kenyataannya dilaporkan berkata kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

Sehubungan itu, Encik Jamil berkata sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen diwajibkan mematuhi syarat-syarat di dalam lesen, antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada dan cukup untuk penjualan harian.

“Syarat lain ialah pemegang lesen juga tidak dibenarkan menutup stesen petrol/bahan api diesel atau memberhentikan penjualan petrol/bahan api diesel di stesennya tanpa kebenaran," katanya.

"Kegagalan pengusaha stesen untuk mematuhi arahan ini atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta (S$328,000) atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta (S$984,000) bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," jelas beliau.

Justeru, Encik Jamil menegaskan pegawai penguatkuasaan KPDNHEP akan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen-stesen menjual bahan api bagi memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan