Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan M'sia bentang di Parlimen usul ungkai ordinan darurat

Kerajaan Malaysia hari ini (25 Okt) membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia bentang di Parlimen usul ungkai ordinan darurat

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat pada 25 Okt 2021 (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Oct 2021 02:51PM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 02:53PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini (25 Okt) membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.

Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan usul itu berkata Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Dr Wan Junaidi berkata Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.

Ini kerana katanya gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.

Beliau berkata sehingga semalam, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,426,050 kes dengan 77,305 kes aktif dan 28,354 kematian.

Dr Wan Junaidi berkata melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit COVID-19.

“Bagi tujuan ini, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di bawah milikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diambil alih,” katanya.

Selain itu, menurutnya sejak Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dikuat kuasa bermula 12 Mac hingga 7 Oktober lepas, 30 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Ordinan itu bagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai COVID-19 serta Proklamasi Darurat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan