Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kerajaan akan kaji dakwaan campur tangan istana dalam isu usia belia Johor

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan dari istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri membuat dua pusingan 'U' beberapa hari lalu, lapor Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan akan kaji dakwaan campur tangan istana dalam isu usia belia Johor

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Jul 2019 02:29PM Dikemas Kini : 11 Jul 2019 02:31PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan dari istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri membuat dua pusingan 'U' beberapa hari lalu, lapor Malaysiakini.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat sama ada alasan yang diberikan di sebalik keputusan tersebut boleh diterima atau sebaliknya.

Semasa bertemu dengan para wartawan di lobi parlimen hari ini (11 Jul), Dr Mahathir ditanya mengenai isu keputusan berubah-ubah yang diumumkan kerajaan Johor mengenai had umur belia di negeri itu.

Semalam Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan berharap pihak istana tidak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Johor.

Mantan menteri besar Johor itu berkata beliau dimaklumkan pihak istana memberi pandangan mengenai isu had umur belia, tetapi Putrajaya percaya kerajaan negeri harus diberikan ruang untuk melaksanakan dasar-dasar yang seragam di seluruh negara.

“Saya minta MB dan exco Johor (fikir) masak-masak (dan) pergi jumpa (pihak istana) dan jelaskan perkara itu dan diharap istana tidak memberi arahan atau campur tangan.

“(Beri) pandangan boleh, tapi keputusan mesti supaya Johor dan negeri lain seragamkan perkara yang sama,” katanya.

ADA PERBINCANGAN DIBUAT

Malaysiakini melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata sebelum ini bahawa pihak istana pernah campur tangan dalam sesetengah urusan negeri.

"Sebab itu mereka membuat kenyataan sebegitu," katanya.

Justeru, kata Dr Mahathir, kerajaan akan mengkaji perkembangan di negeri di selatan itu untuk mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku.

"Kami akan kaji dan lihat sama ada alasan yang diberikan itu boleh diterima atau tidak," katanya.

Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu meluluskan rang undang-undang meminda had umur belia dari 40 tahun kepada 30 tahun.

Bagaimanapun beberapa negeri mengekalkan umur 40 tahun untuk had umur maksimun bagi belia. Salah satu daripadanya ialah Johor.

Pengumuman mengenai keputusan Johor itu dikeluarkan Pejabat Menteri Besar pada 8 Julai. Bagaimanapun sehari kemudian kerajaan Johor menyatakan keputusan mereka menerima pindaan tersebut agar selaras dengan takrifan peringkat pusat, lapor Malaysiakini.

Kurang dari 12 jam kemudian kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan untuk menarik balik pengumuman kedua, dan kembali menerima had umur belia di negeri itu ialah 40 tahun.

Exco bagi portfolio belia Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali berkata keputusan terbaru itu dibuat selepas "perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak".  

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan