Images
  • rtm 2
    (Gambar-gambar: Nor Yahati Awang/Facebook)

Kerabat Berita RTM ke udara pakai seragam sekolah pada hari pertama sekolah dibuka semula

KUALA LUMPUR: Setelah berbulan-bulan lamanya sekolah di seluruh Malaysia ditutup ekoran langkah mengekang penularan pandemik COVID-19, akhirnya ia dibuka kembali pada Rabu (24 Jun) namun dalam norma baru.

Menariknya, bukan sahaja pelajar yang teruja mengenakan pakaian seragam sekolah masing-masing tetapi stesen penyiaran nasional RTM turut serta meraikan pembukaan semula sekolah pada hari pertama itu.

Menurut laporan Malaysiakini, pasukan berita dan rancangan bual bicara 'Selamat Pagi Malaysia' ke udara dalam pakaian seragam sekolah. Ada yang hadir sebagai pelajar biasa dengan sepasang baju seragam putih-hijau, ada pula yang tampil menjadi pengawas dengan persalinan biru.


Tindakan memakai pakaian seragam sekolah itu malah disertai penyampai berita, wartawan serta kru penerbitan.

Seorang wartawan RTM, Siti Farah Nadia Fadzlon, bahkan turun padang ke Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Klang, Selangor, bagi meninjau pelaksanaan norma baru di sekolah dengan menggayakan persalinan seragam sekolah.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM Nor Yahati Awang, dalam satu catatan Facebook pada Rabu, berkata langkah tersebut sebagai tanda sokongan kepada guru-guru serta para pelajar yang memulakan sesi persekolahan.


“Seluruh warga kerja Berita RTM dan Selamat Pagi Malaysia di ibu pejabat serta negeri-negeri mengenakan pakaian seragam sekolah menengah semasa bersiaran,” tulisnya dalam catatan tersebut seperti dipetik Malaysiakini.

Ternyata usaha RTM yang bertujuan untuk menyuntik semangat kepada seluruh tenaga kerja pendidikan dan pelajar turut mendapat sambutan riang daripada warganet apabila catatan Cik Nor Hayati dikongsi ribuan kali.

Sesetengah netizen memberi komen mengatakan langkah itu dapat mendorong anak-anak untuk kembali bersekolah. Sementara itu, ada juga guru yang menzahirkan rasa tersentuh dengan sokongan daripada kakitangan RTM itu.

Sekolah di seluruh Malaysia ditutup apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu lantas memaksa pelajar melakukan pembelajaran secara online.

Bagaimanapun, di bawah PKP Pemulihan (PKPP), sekolah dibenarkan untuk dibuka semula sejak 24 Jun namun hanya bagi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting.

Pembukaan semula sekolah untuk pelajar lain pula akan dilakukan secara bertahap-tahap semasa tempoh PKPP yang dijadual berakhir pada 31 Ogos.

Prasekolah pula diumumkan akan mula dibuka bermula 1 Julai. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top