Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kenal pasti gejala awal boleh elak kes bunuh diri di tengah COVID-19

Tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu diberi perhatian serius memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenal pasti gejala awal boleh elak kes bunuh diri di tengah COVID-19

Kes bunuh diri di Malaysia semakin meningkat. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 05 Jul 2021 10:17AM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 10:27AM

KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu diberi perhatian serius memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik COVID-19.

Antara kes yang dilaporkan yang turut tular di media sosial adalah tiga kes bunuh diri yang berlaku pada hari yang sama iaitu pada 16 Jun lalu, diikuti pula dengan 18 Jun.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 56 tahun ditemui tergantung di Jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor pada 28 Jun lalu. 

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan media baru-baru ini pastinya mencemaskan dan menuntut tindakan tegas oleh pihak berwajib.

Berdasarkan perangkaan PDRM, sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020, dan 609 kes pada tahun 2019.

JUMLAH KES BUNUH DIRI MEMBIMBANGKAN

Umumnya, rakyat Malaysia bukan sahaja risau terhadap peningkatan kes harian COVID-19 yang masih kekal empat angka tetapi saban hari turut berhadapan pula dengan laporan kes bunuh diri. 

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019, hampir setengah juta penduduk di Malaysia mengalami kemurungan - ini merangkumi 2.3 peratus rakyat negara yang berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut memaklumkan menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan tertekan yang melampau dan terasing daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. 

(Gambar fail: BERNAMA)

Dr Noor Hisham Abdullah berkata sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan tertekan. 

"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

"Masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri," katanya.

KENAL PASTI GEJALA AWAL BUNUH DIRI

Pensyarah Kanan Kaunseling, Fakulti Sains Kognititf dan Pembangunan Manusia Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Amalia Madihie berkata, apabila seseorang itu menghadapi desakan hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka keadaan fizikal dan mental mereka berpotensi serta berisiko menjadi lemah. 

"Tambahan pula, ada yang tidak bernasib baik turut dijangkiti COVID-19 menjadikan mereka mengalami 'Post Stress Traumatic Disorder' (PSTD) iaitu trauma terhadap pandangan serong orang ramai. 

"Mereka akan berhadapan dengan emosi ketakutan, risau, bimbang dan kemurungan yang mungkin akan menimbulkan rasa ingin membunuh diri," katanya sewaktu di webinar 'Mental Health & Pandemic Resilience' anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sarawak, baru-baru ini. 

Dr Amalia, yang juga kaunselor berdaftar (Malaysia) UNIMAS, berkata, tanda-tanda awal seseorang itu berniat untuk membunuh diri dapat dilihat berdasarkan tingkah laku dan cara pertuturannya yang luar biasa.

Menurut beliau, kebiasaannya, mereka mungkin tidak sedar akan kelakuan luar biasa mereka dan hanya boleh disedari oleh ahli keluarga ataupun rakan-rakan di sekeliling yang sentiasa bersama-sama dengan mereka.

Contohnya, mereka berkelakuan pelik di pejabat. Ada kalanya pula mempunyai tanda mencederakan diri sendiri, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.   

Selain itu, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada semua orang dan luahan rasa ingin bunuh diri di media sosial juga merupakan tanda-tanda awalnya. 

"Kita sebagai ahli keluarga ataupun rakan-rakan sekerja di pejabat, penting untuk mengenal pasti orang-orang yang mempunyai tanda-tanda sedemikian dan untuk menghalang mereka daripada membunuh diri seterusnya dapat memberi bantuan psikologi (psychological first aid) kepada mereka.

"Jika dapat dikesan mereka mempunyai tanda sedemikian, cuba untuk menjadi pendengar yang baik kepada mereka, memahami apa sebenarnya telah berlaku dan memberi sokongan moral sebagai respon kepada mereka. 

"Jika ia berlaku pada kanak-kanak, sebagai ibu bapa ataupun ahli keluarga, cuba untuk menjelaskan kepada mereka secara baik untuk tidak mencederakan diri sendiri jika berasa tertekan, kenal pasti permasalahan mereka dan cuba untuk 'slow talk' dan menjadi pendengar baik," kata Dr Amalia.

Menurut Dr Amalia, kesihatan mental amat berkait rapat dengan kesihatan fizikal, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19.

"Perkara paling asas dalam kesihatan mental adalah pemeriksaan kesihatan fizikal secara menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setahun dan dapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika sakit, kerana badan sihat turut akan mewujudkan mental yang sihat," katanya.

Gambar hiasan: iStock

DEMAM TERPERUK DAN KEMURUNGAN

Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama International) Dr Abd Halim Mohd Hussin pula berkata, kemurungan juga boleh berlaku disebabkan 'Demam Terperuk' akibat terlalu lama berada di satu-satu ruang ketika pelaksanaan PKP. 

"Demam Terperuk lebih terserlah dalam menghasilkan tingkah laku tidak disedari akibat pengasingan yang tegang dan ia boleh melarat sehingga ke tahap fobia tertentu. 

"Selain ketegangan, seseorang yang mengalami Demam Terperuk itu akan berasa gelisah, kesukaran memberi tumpuan, kurang sabar dan keinginan kepada makanan, " katanya.

Menurut beliau, penurunan motivasi, ketidakupayaan untuk berdaya tindak dengan tekanan serta pengasingan sosial juga boleh berlaku apabila seseorang mengalami Demam Terperuk.

Beliau berkata, seperti mana-mana keadaan kesihatan mental, Demam Terperuk perlu dirawat oleh profesional yang terlatih dalam bidang kesihatan mental seperti kaunselor, terapis, ahli psikologi dan psikiatris jika terdapat keperluan intervensi perubatan. 

"Namun jika gejala itu adalah di tahap sederhana, maka dengan langkah betul dalam memerangi perasaan adalah memadai untuk membantu mereka berasa lebih baik dan selamat," katanya.  

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan