Images
  • mah siew keong
    Presiden Parti Gerakan Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong. (Gambar: Mah Siew Keong/ Facebook)

Kempen #UndiRosak: Berbeza pendapat bukan alasan untuk lakukan buli siber

KUALA LUMPUR: Jangan buli mereka yang mempunyai pendirian dan pendapat berbeza.

Demikian ditegaskan Presiden Parti Gerakan Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong berhubung situasi yang dialami salah seorang aktivis kempen #UndiRosak, Maryam Lee.

Datuk Seri Siew Keong berkata, biarpun parti tegas dengan pendirian menolak pendapat dan hujah dibawa kempen itu, namun ia bukan alasan untuk menyokong sebarang tindakan berbentuk buli siber.

"Parti sememangnya tidak bersetuju dengan hujah yang dibawa mereka. Kami berharap, orang ramai, khususnya anak muda, menolak kempen itu dan keluar mengundi mengikut cara dan prosedur yang betul.

"Sokongan terhadap kempen #UndiRosak hanya akan merugikan diri sendiri dan menjejaskan masa depan negara.

"Tetapi walaupun kami tidak bersetuju, kami juga menolak tindakan pihak yang melakukan buli siber ke atas Maryam, kerana itu bukan cara yang betul untuk melakukan protes atau meluahkan rasa tidak puas hati," kata Datuk Seri Siew.

Beliau berkata demikian menyusuli laporan polis yang dibuat Cik Maryam berkenaan ugutan dan tohmahan yang diterima daripada penyokong Pakatan Harapan, hujung Januari lalu.

Datuk Seri Siew Keong ditemui pemberita sewaktu majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Gerakan di Cheras, hari ini (16 Feb).

Majlis yang turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- BERNAMA/AQ/aq

Top