Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Kewangan, Pengangkutan tidak tahu cadangan lapangan terbang baru Pulau Pinang

Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, sama sekali tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu bernilai belasan bilion ringgit di Pulau Pinang.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kewangan, Pengangkutan tidak tahu cadangan lapangan terbang baru Pulau Pinang

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Jun 2019 02:13PM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 02:22PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, sama sekali tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu bernilai belasan bilion ringgit di Pulau Pinang, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Isnin (10 Jun).

Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, laporan akhbar The Star itu hanya menyebabkan kekeliruan di kalangan industri komunikasi dan pengangkutan, kerana mereka tidak menyatakan siapa yang menghadiri atau menerima cadangan-cadangan itu, menurut laporan Bernama.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya, bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan,” katanya.

Akhbar The Star melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyatakan, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu.

Encik Lim berkata, spekulasi tidak berasas itu juga sangat tidak adil, apabila ia memberi tanggapan negatif bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan kerajaan negeri atau rakyat, dengan mempertimbangkan projek sebesar itu yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah, lapor Bernama.

Menurut peruntukan Belanjawan 2019, Encik Lim berkata kerajaan secara jelas menyatakan mengenai hasrat untuk memperbesarkan PIA sedia ada kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun, daripada 6.5 juta sekarang ini.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan untuk membina dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang oleh syarikat swasta seperti yang dilaporkan akhbar The Star.

Bernama melaporkan, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu pada Isnin, pihak kementerian tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan, malah turut tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenainya.

Kenyataan itu menjelaskan kuasa untuk menubuhkan, menyenggara atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen, untuk membina dan mengendalikan sesuatu aerodrom, adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969.

“Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas,” menurut kenyataan itu. 

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan