Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kementerian Kesihatan Malaysia siasat dakwaan individu diberi suntikan vaksin kosong

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menyiasat dakwaan seorang individu mengenai disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin COVID-19 di sebuah hospital seperti dilaporkan baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Anggaran Waktu Membaca:
Kementerian Kesihatan Malaysia siasat dakwaan individu diberi suntikan vaksin kosong

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk vaksinasi COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 31 Mei 2021. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 09 Jul 2021 09:38PM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 09:39PM

LARUT: Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menyiasat dakwaan seorang individu mengenai disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin COVID-19 di sebuah hospital seperti dilaporkan baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan siasatan secara mendalam perlu dijalankan kerana isu atau masalah berkaitan pemberian vaksin bukan perkara yang boleh diambil mudah ketika ini.

"Ini bukan masa untuk melawak, saya amat tidak setuju dan sangat kesal dengan berita buruk ini. Selain kita risau peningkatan dan penularan kes COVID-19, kita juga risau penularan berita palsu. Kita kena tabayyun. Saya ada terima perkara yang ditularkan itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Selama hari ini (9 Jul).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu laporan polis tular dalam media sosial Rabu lepas membabitkan seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital di Banting, Selangor.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit merakam video proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan.

Ditanya mengenai dakwaan kejadian itu mungkin berlaku ekoran petugas keletihan, Dr Noor Azmi berkata perkara itu tidak boleh berlaku kerana terdapat dua atau tiga orang petugas Kementerian yang membuat pemeriksaan sewaktu proses pemberian vaksin hingga selesai.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan