Images
  • germany covid-19 file
    (Gambar fail: AFP/John MacDougall)

Kematian COVID-19 di Jerman melepasi 100,000 kes

FRANKFURT: Jerman mengumumkan jumlah rekod kematian dan jangkitan baru COVID-19 pada Khamis (25 Nov), sekali gus membawa jumlah keseluruhan kematiannya melepasi 100,000 kes.

Negara itu sedang menghadapi gelombang virus paling teruk dan memberi cabaran segera kepada pemerintah gabungan barunya yang ditetapkan mengambil alih Kabinet Angela Merkel pada bulan depan.

Jerman berjaya mengharungi penularan pandemik sebelum ini dengan lebih baik berbanding banyak negara Eropah lain, namun menyaksikan lonjakan semula kes baru-baru ini, dengan katil di unit jagaan rapi semakin penuh.

Ekonomi terbesar Eropah itu mencatat 351 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah kematian sejak permulaan pandemik itu kepada 100,119, menurut perangkaan dari Institut Robert Koch (RKI), sebuah agensi kesihatan awam.

Kadar jangkitan mingguan juga mencecah paras tertinggi iaitu 419.7 kes baru bagi setiap 100,000 orang, dedah RKI.

Lonjakan kes di Jerman itu berlaku sedang Eropah muncul semula sebagai pusat penularan pandemik, dengan benua itu bergelut dengan kadar vaksinasi yang rendah di beberapa negara, varian Delta yang sangat mudah berjangkit, cuaca lebih sejuk yang menyebabkan orang ramai berkumpul di tempat-tempat tertutup dan pelonggaran sekatan.

Minggu lalu, lebih 2.5 juta kes dan hampir 30,000 kematian berkaitan COVID-19 dicatatkan di Eropah, menjadikannya rantau paling teruk dilanda virus itu setakat ini, menurut kiraan AFP.

"BEBAN AKUT"

Menurut Ketua Persatuan Antara Disiplin Jerman bagi Jagaan Rapi dan Perubatan Kecemasan, Gernot Marx, sektor kesihatan Jerman terpaksa menghubungi beberapa hospital di bahagian lain di Kesatuan Eropah untuk mendapatkan bantuan.

Beberapa hospital sudah menghadapi "beban akut" menyebabkan pesakit COVID-19 perlu dipindahkan ke luar negara.

Jerman minggu lalu mengumumkan sekatan lebih ketat, termasuk mewajibkan orang ramai membuktikan mereka sudah divaksin, sudah pulih atau baru-baru ini disahkan negatif COVID-19 sebelum boleh menaiki pengangkutan awam atau ke tempat kerja.

Beberapa kawasan yang paling teruk terjejas mengambil langkah lebih ketat, dengan membatalkan acara-acara besar seperti pasar Krismas dan melarang mereka yang tidak divaksinasi dari bar, gim dan kemudahan riadah.

Lonjakan itu juga mencetuskan perbahasan sengit sama ada untuk mengikuti contoh Austria dan mewajibkan vaksinasi untuk semua rakyatnya.

- AFP/TQ/tq

Top