Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keluarga Najib ambil tindakan guaman, tuntut barangan yang dirampas

Keluarga mantan Perdana Menteri Najib Razak memulakan proses undang-undang untuk menuntut semula barangan mereka yang dirampas polis bernilai antara RM900 juta dengan RM1.1 bilion (antara S$300-S$370 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga Najib ambil tindakan guaman, tuntut barangan yang dirampas

Encik Najib Razak bersama keluarganya. (Gambar: @najib_razak/ Instagram)

Diterbitkan : 29 Jun 2018 02:56AM Dikemas Kini : 29 Jun 2018 02:48PM

KUALA LUMPUR: Keluarga mantan Perdana Menteri Najib Razak memulakan proses undang-undang untuk menuntut semula barangan mereka yang dirampas polis bernilai antara RM900 juta dengan RM1.1 bilion (antara S$300-S$370 juta).

Keluarga beliau turut mengulangi, barangan yang dirampas itu kebanyakannya adalah hadiah daripada rakan-rakan, kenamaan asing termasuk kerabat diraja dalam pelbagai majlis termasuk lawatan rasmi dan acara keluarga seperti sambutan hari jadi, ulang tahun dan majlis perkahwinan.

“Sebahagian daripada barang yang dirampas milik saudara-mara dan pihak ketiga.

Beliau menegaskan lagi, kebanyakan barangan itu adalah hadiah terkumpul selama beberapa dekad, dan keluarganya tidak mengetahui berapa banyak yang dibayar oleh pemberi yang menghadiahkan barangan itu.

BARANG DIRAMPAS DALAM KOTAK TERTERA LAMBANG DIRAJA

Encik Najib berkata sebarang penilaian berdasarkan harga runcit dan pada harga semasa adalah tidak realistik, mungkin terlalu tinggi, yang akan memberikan gambaran menyimpang kerana barang-barang itu diterima sebagai hadiah sepanjang tempoh berpuluh tahun.

Beliau memberikan contoh, polis dalam sidang akhbar menyatakan bahawa jam tangan paling mahal Rolex Daytona yang dikatakan bernilai RM3.4 juta (S$1.1 juta).

“Barang yang dirujuk oleh polis itu merupakan hadiah yang diterima baru-baru ini bersama beberapa barang bernilai lain oleh Menteri Dalam Negeri, yang juga seorang putera raja dari negara Timur Tengah yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.

“Sepatutnya pihak polis menyatakan barangan serta item lain yang dirampas itu, diletakkan di dalam sebuah kotak yang tertera lambang diraja sebuah negara asing.

“Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan,” katanya.

SERANGAN POLITIK

Encik Najib juga menegaskan banyak barangan yang disita terkandung di dalam kotak yang dilabelkan oleh staf beliau dengan keterangan, gambar, tarikh hadiah dan identiti si pemberi hadiah.

“Sekiranya polis memanggil anggota keluarga kami untuk soal siasat berhubung perkara ini, kami akan menawarkan kerjasama penuh. Kami juga akan mencuba yang terbaik membantu polis mengenal pasti mereka yang telah menyumbangkan hadiah itu selama beberapa dekad.

Sama seperti kenyataan mengenai hutang inflasi yang melampau, kata beliau, anggaran nilai barangan yang dirampas sengaja diperbesarkan bertujuan untuk membalas dendam serta merupakan serangan politik ke atas keluarganya.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh berkata jumlah keseluruhan nilai barangan yang dirampas berkaitan dengan siasatan ke atas bekas perdana menteri antara RM900 juta dan RM1.1 bilion (antara S$300 hingga S$370 juta).

Rampasan itu membabitkan serbuan di enam premis milik Encik Najib dan dua anaknya di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Mei.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan