Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keluarga Jamal Khashoggi maafkan pembunuhnya

Keluarga wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, yang dibunuh, berkata pada Jumaat (22 Mei) bahawa mereka sudah memaafkan pembunuh ayah mereka, tulis anak lelaki kolumnis Washington Post itu, Salah Khashoggi di Twitter.z

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga Jamal Khashoggi maafkan pembunuhnya

Keputusan kes bunuh Khashoggi dikritik dunia. (Gambar: Ozan Kose/AFP)

Diterbitkan : 22 May 2020 03:48PM Dikemas Kini : 22 May 2020 03:53PM

RIYADH: Keluarga wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, yang dibunuh, berkata pada Jumaat (22 Mei) bahawa mereka sudah memaafkan pembunuh ayah mereka, tulis anak lelaki kolumnis Washington Post itu, Salah Khashoggi di Twitter.z

"Di malam yang penuh barakah di bulan yang penuh keberkatan ini (di bulan Ramadan) kami ingat firman Tuhan: Jika seseorang mengampuni dan membuat pendamaian, balasannya datang dari Allah."

"Oleh itu, kami, anak-anak syahid Jamal Khashoggi, mengumumkan mengampuni mereka yang membunuh ayah kami, meminta balasan pahala Tuhan yang Maha Kuasa," tambahnya.

Allahyarham Khashoggi kali terakhir dilihat di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018, di mana beliau pergi untuk mendapatkan dokumen untuk perkahwinannya yang akan datang. Anggota tubuhnya dilaporkan dikerat dan dibawa keluar dari bangunan itu, dan mayatnya sehingga kini masih tidak dijumpai.

Pembunuhan itu mencetuskan kemarahan masyarakat global, mencemarkan imej Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Beberapa pemerintah Barat, dan juga CIA, menyatakan mereka percaya Putera Mohammed yang mengarahkan pembunuhan itu.

Para pegawai Arab Saudi menegaskan Putera Mohammed tidak memainkan sebarang peranan dalam pembunuhan itu. Bagaimanapun pada September 2019 putera mahkota itu membayangkan beliau memikul tanggungjawab peribadi dengan berkata bahawa kejadian "itu terjadi di bawah pengawasan saya".

Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas lima orang dan hukuman penjara ke atas tiga lagi berhubung pembunuhan Allahyarham Khashoggi Disember lalu. Suspek melalui perbicaraan penuh rahsia di ibu kota Riyadh.

Perbicaraan itu dikutuk oleh PBB dan kumpulan hak asasi. Pelapor khas PBB bagi perbicaraan di luar undang-undang atau hukuman tanpa sebab, Agnes Callamard, menuduh Arab Saudi "mempersendakan" sistem kehakiman dengan membiarkan dalang pembunuhan pada 2018 itu dibebaskan.

Namun, merujuk kepada keputusan itu, Salah Khashoggi berkata bahawa "ia adalah adil bagi kami dan keadilan telah dicapai".

Salah sebelumnya berkata bahawa beliau mempunyai "keyakinan penuh" terhadap sistem kehakiman, dan menyelar pengkritik yang katanya ingin mengeksploitasi kes tersebut.

Washington Post melaporkan pada April bahawa anak-anak Allahyarham Khashoggi, termasuk Salah, menerima rumah bernilai jutaan dolar dan dibayar ribuan dolar sebulan oleh pihak berkuasa.

Namun Salah menyangkal laporan itu, dengan menafikan berlakunya sebarang penyelesaian kewangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan