Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keluarga Dr Fadi akan pulang ke Palestin; isteri janji teruskan pengajian ke PhD

Berikutan insiden pembunuhan pensyarah dan imam warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang menggemparkan pada Sabtu lalu (21 Apr), isteri Allahyarham berkata bahawa beliau dan tiga anaknya akan kembali ke tanah air mereka untuk selama-lamanya

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga Dr Fadi akan pulang ke Palestin; isteri janji teruskan pengajian ke PhD

Isteri Dr Fadi akan tunaikan janji untuk menamatkan pengajian PhD. (Gambar: MOHD RASFAN/AFP)

Diterbitkan : 25 Apr 2018 08:40AM Dikemas Kini : 25 Apr 2018 08:44AM

KUALA LUMPUR: Berikutan insiden pembunuhan pensyarah dan imam warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang menggemparkan pada Sabtu lalu (21 Apr), isteri Allahyarham berkata bahawa beliau dan tiga anaknya akan kembali ke tanah air mereka untuk selama-lamanya.

Namun, Cik Enas Al Batsh, 31 tahun berkata bahawa beliau akan memenuhi hasrat arwah suaminya agar meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

Beliau menyifatkan Allahyarham suaminya, yang ditembak mati ketika berjalan menuju ke surau dekat kondominium mereka di Setapak untuk mengimamkan solat Subuh, sebagai seorang yang mengutamakan pendidikan.

"Saya masih ingat suami saya berkata, anda telah bersabar menunggu saya menamatkan pengajian PhD dan saya akan menunggu anda meneruskan pengajian PhD. Beliau bersungguh-sungguh meminta saya menamatkan pengajian,” katanya semalam (24 Apr).

 Bercakap menerusi penterjemah, Cik Enas yang berasa amat sedih atas pemergian suaminya, berkata beliau sudah mendaftar untuk mengikuti program PhD di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dan akan meneruskan pengajian secara online.

Cik Enas juga menghargai kesanggupan Allahyarham Fadi yang berkorban demi pendidikan anak-anak mereka.

Di sesi media berkenaan, beliau ditemani anak lelakinya yang berusia satu tahun, Mohammed dan adik iparnya, Ramy Al Batsh, 28 tahun, yang tiba di Malaysia dari Jerman.

ALLAHYARHAM SUAMI PENYAYANG, BAIK HATI

Dengan tutur kata yang sebak, Cik Enas berkata beliau menetap di Malaysia sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata bahawa keluarganya sudah merancang untuk bercuti di Malaysia sebelum arwah suaminya ditembak mati.

Beliau menyifatkan Allahyarham Fadi, 35, sebagai suami yang baik dan penyayang dengan sikap yang positif.

Jenazah Allahyarham dijangka diterbangkan ke Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7.00 malam ini (25 Apr) sebelum dibawa ke Gaza melalui jalan darat.

Sementara itu, Encik Ramy menyifatkan Allahyarham abangnya sebagai seorang yang luar biasa dan baik hati, dan menjadi guru kepada orang di sekeliling.

ADIK KECAM PEMBUNUH

Dalam pada itu, Encik Ramy mengecam mereka yang membunuh abang tersayangnya yang merupakan bapa kepada dua anak perempuan – Doaa, 6, dan Aseel, 4.

“Pelaku insiden itu harus dibawa ke pengadilan dan dikenakan hukuman yang paling berat," katanya.

Beliau berkata bahawa Allahyarham Fadi yang menghafal al-Quran, adalah seorang insan biasa dan disukai ramai termasuk mereka yang bukan Islam.

"Tidak dapat dibayangkan bahawa arwah boleh mencederakan orang lain yang menyebabkan beliau dibunuh, “ katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa abangnya itu adalah pakar pembuat roket.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan