Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelas memasak 'Isteri Misali' cetus kontroversi

Sebuah syarikat di Hong Kong mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduknya setelah mengiklankan kursus memasak untuk menjadi 'Isteri Misali'.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelas memasak 'Isteri Misali' cetus kontroversi

(Gambar: @webbhk/Twitter)

Diterbitkan : 17 Feb 2019 03:35AM Dikemas Kini : 17 Feb 2019 03:37AM

HONG KONG: Sebuah syarikat di Hong Kong mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduknya setelah mengiklankan kursus memasak untuk menjadi 'Isteri Misali'.

"Jika anda ingin menjadi teman wanita atau isteri yang terbaik, kursus memasak 'Isteri Misali' ini sesuai untuk anda," menurut teks risalah yang diedarkan oleh Pusat Memasak Towngas, yang dikendalikan oleh syarikat Hong Kong & China Gas.

Perkataan "Sijil Isteri Misali", dalam tulisan tebal, juga dapat dilihat pada bahagian atas risalah berkenaan.

Jurucakap syarikat Hong Kong & China Gas mengesahkan kesahihan iklan itu, namun beliau enggan memberikan penjelasan di sebalik frasa tersebut, lapor laman Bloomberg.

Kursus memasak, yang ditawarkan pada harga HK$2,500 (S$430), merangkumi lima bahagian yang meliputi bidang-bidang seperti bagaimana untuk menggunakan kuali baru, serta cara-cara mengukus makanan dan menyiapkan hidangan abalone, menurut laman syarikat itu.

"Suruhanjaya Kesaksamaan Hong Kong mungkin berminat untuk mengetahui sama ada kaum lelaki juga dibenarkan untuk mengikuti kursus ini," kata aktivis David Webb, yang memuatnaikkan kapsyen risalah itu di laman Twitternya.

"Mungkin Towngas perlu memodenkan para kakitangan pemasarannya. Hong Kong masih lagi sebuah masyarakat yang konservatif dan agak ketinggalan zaman dengan tidak membenarkan pasangan sama jenis untuk berkahwin ataupun menjalin hubungan sivil."

"Berdasarkan perbincangan yang diadakan bersama para pelanggan kami dari semasa ke semasa, mereka ingin menimba kemahiran memasak untuk menghidangkan sajian enak bagi para suami dan teman lelaki mereka.

"Oleh itu, kami melakar kursus ini bagi para anggota kami. Kaum lelaki juga dialu-alukan untuk menyertainya," menurut Hong Kong & China Gas dalam satu kiriman emel seperti yang dipetik oleh Bloomberg.

"Kami akan melancarkan satu siri kursus memasak bagi pelbagai segmen pasaran dan kursus ini hanyalah sebahagian daripada usaha pengiklanan dan promosi kami."

Kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Kesaksamaan dan Universiti Cina Hong Kong pada tahun lalu menunjukkan bahawa para majikan Hong Kong tidak begitu cenderung menggajikan wanita, lapor Bloomberg.

Diasaskan pada 1862, Hong Kong & China Gas adalah syarikat perbekalan awam yang pertama di Hong Kong. Ia kini membekalkan gas kepada sekitar 1.9 juta pelanggan di bandar itu, menurut laman tersebut. 

Sumber : Agensi berita/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan