Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelantan, Terengganu, Utara Semenanjung M'sia dijangka dilanda banjir bulan depan

Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung Malaysia dijangka dilanda banjir bulan depan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Rabu (16 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kelantan, Terengganu, Utara Semenanjung M'sia dijangka dilanda banjir bulan depan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Oct 2019 05:24PM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 05:26PM

KUALA LUMPUR: Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung Malaysia dijangka dilanda banjir bulan depan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Rabu (16 Okt).

Pengumuman itu dibuat berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa monsun timur laut akan bertiup bermula hujung Oktober hingga Mac tahun depan.

Dalam satu kenyataan menyusuli mesyuarat pengurusan bencana pusat di Putrajaya, NADMA memberi amaran tahap banjir dijangka hampir sama dengan keadaan banjir yang berlaku semasa tahun 2016 dan 2017.

Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor pula diramalkan mengalami banjir pada Disember, manakala Johor, Pahang dan barat Sarawak pada awal tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan mesyuarat itu mengarahkan agensi di semua peringkat daerah, negeri dan persekutuan supaya memastikan persediaan sumber manusia, aset, pusat pemindahan sementara, depoh, pangkalan hadapan dan bekalan sokongan yang mencukupi.

Sebagai persiapan menghadapi bencana tersebut, NADMA menyatakan, cuti pegawai dan anggota yang terlibat dalam pengurusan bencana dibekukan mulai November 2019 hingga Februari 2020.

Ia melibatkan anggota polis, tentera, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Lebih 80,000 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi yang terlibat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.

Untuk musim tengkujuh kali ini, kerajaan juga memperuntukkan RM4 juta (S$1.3 juta) daripada Dana Amanah Bantuan Bencana Negara bagi perbelanjaan operasi bencana dengan RM100,000 (S$32,670) akan diagihkan kepada setiap agensi terlibat.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyiapkan 5,482 pusat pemindahan sementara bagi menampung lebih 1.6 juta mangsa. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan