Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kelantan rekod kadar jangkitan COVID-19 tertinggi di M'sia; rakyat diminta dirikan solat hajat

Kelantan hari ini (18 Apr) merekodkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught (Rt) tertinggi di negara ini iaitu pada kadar 1.32 berbanding kadar kebangsaan 1.19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelantan rekod kadar jangkitan COVID-19 tertinggi di M'sia; rakyat diminta dirikan solat hajat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Apr 2021 04:48PM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 04:54PM

KOTA BHARU: Kelantan hari ini (18 Apr) merekodkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught (Rt) tertinggi di negara ini iaitu pada kadar 1.32 berbanding kadar kebangsaan 1.19.

Menteri Besar Kelantan Encik Ahmad Yakob berkata ia berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 yang menyebabkan tujuh jajahan di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat lepas hingga 29 April ini.

Beliau berkata setakat ini masih terdapat 2,627 sampel yang belum mendapat hasil ujian COVID-19 dan lebih membimbangkan penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) semakin meningkat.

“Sejumlah 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat dan ini menunjukkan jangkitan dalam masyarakat sangat tinggi.

“Langkah penutupan sekolah dalam kawasan PKP terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah daripada kalangan warga sekolah. Justeru, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi masalah penularan wabak COVID-19 di tempat kerja, sekolah, masjid dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Encik Ahmad berkata kerajaan negeri juga menyeru seluruh umat Islam di Kelantan agar mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing bagi membendung wabak COVID-19 sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga umat Islam diminta memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

“Mudah-mudahan dengan amalan taqqarub itu dan dengan keberkatan bulan Ramadan, wabak ini dapat dibendung,” katanya.

Semalam (17 Apr), Kelantan merekodkan 225 kes baru dengan 28 kluster yang masih aktif.

Awal dari itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bertindak mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan PKP, ditutup seminggu bermula hari ini hingga 24 April depan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan