Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kejutan manis buat polis selepas 'aduan coklat' di rumah Najib

Anggota polis di beberapa balai polis di seluruh Malaysia hari ini (26 Mei) menerima kejutan manis daripada sekumpulan rakyat Malaysia yang menyertai kempen online #Chocs4cops yang dimulakan oleh peguam Siti Kasim.

Anggaran Waktu Membaca:
Kejutan manis buat polis selepas 'aduan coklat' di rumah Najib

Gambar-gambar di media sosial dengan #chocs4cops.

Diterbitkan : 26 May 2018 09:36PM Dikemas Kini : 26 May 2018 09:50PM

KUALA LUMPUR: Anggota polis di beberapa balai polis di seluruh Malaysia hari ini (26 Mei) menerima kejutan manis daripada sekumpulan rakyat Malaysia yang menyertai kempen online #Chocs4cops yang dimulakan oleh peguam Siti Kasim.

Mereka yang menyertai kempen itu mengambil gambar coklat yang mereka beli beserta pesanan dan penghargaan atas jasa polis dan berkongsi di Facebook rasmi kempen berkenaan, lapor Malaysiakini.

Kempen berkenaan dijangka diadakan selama sejam daripada pukul 4.00 petang hingga 5.00 petang dengan Siti sendiri pada mulanya merancang untuk menyerahkan coklat di balai polis Hartamas, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Siti berkata, anggota polis di balai polis berkenaan tidak dibenarkan menerima coklat atau apa-apa hadiah daripada orang awam.

"Tak apa. Kami kemudian pergi ke balai bomba sebelah dan beri coklat itu kepada anggota bomba," katanya.

Malaysiakini melaporkan bahawa Siti melancarkan kempen #Chocforcops awal minggu ini sebagai respons kepada aduan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa polis yang menyerbu kediamannya dalam operasi siasatan berhubung 1MDB mengambil coklat di dalam peti sejuknya.

Kempen berkenaan yang diuar-uarkan di Facebook menggesa orang awam memberikan coklat kepada pegawai polis atas kerja keras mereka dan juga sempena Ramadan.

"Sempena bulan Ramadan, marilah kita semua memberi coklat kepada anggota polis yang bekerja keras memastikan keselamatan negara kita.

"Sila serahkan coklat kepada balai polis berhampiran pada hari sama yang dinyatakan. Kemudian kongsikan gambar atau video di Facebook," demikian menurut keterangan kempen tersebut.

Berdasarkan komen daripada peserta kempen itu, kebanyakan balai polis di sekitar Kuala Lumpur enggan menerima hadiah berkenaan.

Bernama melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana sudi menghadiahkan coklat sebagai tanda penghargaan kepada polis hari ini.

“Bagaimanapun polis Kuala Lumpur tidak dapat menerimanya kerana ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu (yang mesti dipatuhi),” katanya.

Bagaimanapun, peserta lain di kawasan lain yang dapat dilihat pada gambar dan video Facebook kempen itu dilihat berjaya menyerahkan hadiah coklat anggota polis yang bertugas.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan