Images
  • norway main
    Para pegawai polis bersenjata dilihat mengawal bangunan hotel Thon semasa solat Hari Raya Haji. (Gambar: Terje Pedersen/NTB Scanpix/AFP)

Kejadian tembakan masjid Norway 'percubaan serangan pengganas'

OSLO: Polis Norway menyatakan pada Ahad (11 Ogos) bahawa kejadian tembakan yang berlaku di sebuah masjid yang terletak berhampiran Oslo, dianggap sebagai satu "percubaan serangan pengganas".

Para penyiasat berkata suspek dipercayai mempunyai pandangan haluan kanan ekstrem dan menentang pendatang asing.

Dia dilaporkan memasuki masjid yang terletak di kawasan pinggir bandar Oslo, Baerum pada Sabtu (10 Ogos) dengan membawa pelbagai senjata.

Suspek kemudian melepaskan tembakan sebelum ditewaskan oleh seorang jemaah berusia 65 tahun, yang mengalami kecederaan ringan.

Suspek berusia 20 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa.

Hanya tiga orang berada di dalam Pusat Islam al-Noor semasa serangan itu dilancarkan. Polis menyatakan pihaknya menemui dua senjata api di tempat kejadian tetapi tidak mendedahkan jenis senjata api yang dijumpai.


(Gambar Pusat Islam al-Noor. Gambar: Terje Pedersen/AFP)

Beberapa jam selepas serangan itu, mayat seorang perempuan berusia 17 tahun dijumpai di sebuah rumah di Baerum dan polis pada Ahad (11 Ogos) mengesahkan dia merupakan adik tiri kepada suspek. Para penyiasat sudah memulakan siasatan ke atas kematiannya.

Perdana Menteri Norway Erna Solberg menyifatkan insiden tembakan berkenaan sebagai "satu serangan langsung terhadap masyarakat Muslim di Norway". 

'SERANGAN TERHADAP MUSLIM DI NORWAY'

Serangan itu dilancarkan sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha, mencetuskan keprihatinan dalam kalangan rakyat Norway yang beragama Islam.

"Serangan pengganas di Baerum berpunca daripada kebencian terhadap masyarakat Muslim yang dibiarkan berleluasa di Norway sejak sekian lama, tanpa sebarang tindakan serius oleh pihak berkuasa Norway terhadap perkembangan tersebut," menurut Majlis Islam Norway dalam satu kenyataan.

Sementara itu, polis Oslo meningkatkan lagi tahap keselamatan semasa perayaan Aidiladha, termasuk mengarahkan para pegawai polis rondaan supaya dilengkapi senjata, satu perkara yang jarang berlaku.

"Ramai yang tidak datang untuk menunaikan solat Hari Raya Haji kerana rasa takut," kata Basm Guzlan kepada agensi berita AFP.

"Saya tidak akan membiarkan diri menjadi takut tetapi saya mengaku saya bimbang... bahawa seorang pengganas boleh mencetuskan bahaya," katanya.


(Gambar rakyat Norway bukan Islam di luar sebuah masjid di Oslo. Gambar: Fredrik Hagen/AFP)

Pada pagi Ahad (11 Ogos), ramai rakyat Norway yang bukan Muslim berhimpun di luar sebuah masjid di Oslo bagi memberikan sokongan.

"Masyarakat Muslim harus berasa selamat di negara kita dan kami mahu menunjukkan bahawa mereka mempunyai sokongan daripada pemerintah Norway dan seluruh rakyat negara ini," kata Perdana Menteri Solberg selepas menghadiri satu acara sempena menyambut Aidiladha.

Menurut perangkaan rasmi, sekitar 200,000 Muslim tinggal di Norway pada 2016, membentuk hampir empat peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara itu.

- AFP/AI/ai

Top