Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kehadiran Rosmah 'ganggu' perbicaraan Najib

Perbicaraan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak terganggu seketika setelah pihak pendakwa mengemukakan bantahan terhadap kehadiran isteri beliau, Cik Rosmah Mansor, di tempat duduk awam di Mahkamah Tinggi untuk mengikuti prosiding kes suaminya hari ini (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Kehadiran Rosmah 'ganggu' perbicaraan Najib

Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Rosmah Mansor. (Gambar fail: Vincent Thian/AP)

Diterbitkan : 18 Jun 2019 01:12PM Dikemas Kini : 18 Jun 2019 01:26PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak terganggu seketika setelah pihak pendakwa mengemukakan bantahan terhadap kehadiran isteri beliau, Cik Rosmah Mansor, di tempat duduk awam di Mahkamah Tinggi untuk mengikuti prosiding kes suaminya hari ini (18 Jun), lapor laman berita Malay Mail.

Dengan berpakaian baju kurung merah, Cik Rosmah duduk di barisan depan galeri awam bersama dengan peguam bela K Kumaraendran apabila sesi perbicaraan Encik Najib bermula sejurus selepas 9.30 pagi.

Setelah mengesan kehadiran Cik Rosmah, pendakwa ad hoc, V Sithambaram mencelah pemeriksaan balas oleh peguam bela Encik Najib, Muhammad Shafee Abdullah, ke atas saksi ke-39 Ismee Ismail.

Encik Sithambaram berhujah bahawa Cik Rosmah ada memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau mungkin dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan lanjut di mahkamah.

"Rosmah Mansor ada dalam mahkamah. Dia mungkin menjadi saksi dalam kes ini, keterangan saksinya sudah dirakam.

"Kami tidak ingin menghadapi masalah pada suatu ketika nanti. Kami tidak ingin dianggap sebagai ingin menyukarkan, ini setakat perkara prosedur," ujar Encik Sithambaram kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Malay Mail melaporkan, Encik Shafee kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau akan menyerahkan keputusan mengenai perkara itu kepada mahkamah.

Namun, sebelum Hakim Mohd Nazlan sempat membuat keputusan, Cik Rosmah sudahpun bangkit dari tempat duduk lalu keluar dari mahkamah dengan diiringi Encik Kumaraendran.

Cik Rosmah kedengaran seolah-olah merungut semasa berjalan keluar dari mahkamah, menurut laporan Malay Mail.

Encik Najib sedang dibicarakan atas tujuh tuduhan menyalahgunakan kedudukan, pecah amanah dan melabur wang haram berkaitan dengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta (S$13.8 juta). 

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan