Images
  • Lombok house
    Suasana di sekitar kawasan Lombok setelah gempa bumi berlaku. (Gambar: Aulia Ahmad/AFP)

Kedutaan M'sia bantu bawa pulang jenazah mangsa gempa bumi Lombok

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang memproses untuk membawa pulang jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan berkata jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail, 30 tahun, yang kini ditempatkan di Hospital Selong, Timur Lombok akan dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Provinsi NTB di Bandar Mataram, sebelum dibawa pulang.

"Proses penghantaran sedang diuruskan ejen yang dilantik manakala kos penghantaran ditanggung syarikat insurans," kata Encik Zamshari.

Beliau menambah, pegawai kedutaan Malaysia akan tiba di Lombok esok (30 Jul) bagi menyelaras proses itu termasuk membantu rakyat Malaysia lain yang terkandas untuk kembali ke tanah air.

Setakat 4.00 petang tadi (29 Jul), dua kumpulan pelancong rakyat Malaysia dihulurkan bantuan oleh pihak berkuasa Indonesia.

"Kumpulan (pertama) seramai 19 individu di Senaru, Lombok Utara kini dibawa menuju ke Senggigi di Barat Lombok. Kesemua mereka dilaporkan selamat.

"Kumpulan kedua seramai 17 pendaki masih di Sembalun, Timur Lombok. Enam daripadanya (dua cedera parah dan empat cedera ringan) sedang dirawat di Hospital Selong, Timur Lombok," kata Encik Zamshari.

Beliau berkata kedutaan juga dimaklumkan bahawa masih ada warga Malaysia yang berada di Lombok tetapi belum dapat dihubungi hingga kini.  

- BERNAMA/AQ/aq

Top