Images
  • kedai makan generic
    (Gambar hiasan: BERNAMA)

Kedai makan di KL dibenarkan beroprasi hingga 2 pagi mulai esok

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis-premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai Isnin (14 Sep).

Menterinya Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“... peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara pada Ahad.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga pukul 12.00 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERNAMA/TQ/tq

Top