Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kedai buang tatu ini terima bacaan Quran sebagai 'bayaran'

Seorang pakar pembuangan tatu, Sandi Widodo, mengendalikan bisnes menghilangkan tatu pada harga murah, namun orang Islam yang ingin membuang tatu mereka di kedainya perlu membaca 50 ayat Al-Qur'an dari ingatan dan bertaubat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai buang tatu ini terima bacaan Quran sebagai 'bayaran'

Sandi Widodo mengendalikan perniagaan membuang tatu pada harga murah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Jul 2018 12:03AM Dikemas Kini : 26 Jul 2018 02:56AM

JAKARTA: Seorang pakar pembuangan tatu, Sandi Widodo, mengendalikan bisnes menghilangkan tatu pada harga yang rendah iaitu 150,000 rupiah (S$14.50).

Namun, ada syaratnya. Orang Muslim yang ingin membuang tatu mereka di kedai Widodo di Jakarta perlu membaca 50 ayat Al-Qur'an dari ingatan dan bertaubat.

Itu bayaran yang kecil bagi Riki Irawan yang berharap dengan membuang tiga tatu di badannya, ia dapat membawanya lebih dekat kepada Tuhan.

Tetapi beliau ada satu lagi sebab membuang tatu - ibu bapa tunangnya tidak mengizinkannya berkahwin dengan anak perempuan mereka selagi beliau masih bertatu.

"Keseronokan mempunyai tatu hanya sementara sahaja," kata Irawan, 31 tahun.

"Ia hanya untuk beberapa minggu dan selepas itu hidup anda musnah."

Irawan bukan satu-satunya orang yang menyesal mempunyai tatu, memandangkan ada lebih 1,000 orang dalam senarai menunggu klinik Widodo.

Meskipun stigma mengenai tatu sudah pudar di Barat, tatu masih sering dikaitkan dengan jenayah dan akhlak yang buruk di beberapa negara Asia.

Sandi Widodo mengendalikan perniagaan membuang tatu pada harga murah. (Gambar: AFP)

"Saya tidak selesa menjejakkan kaki ke masjid," kata Widodo, yang masih mempunyai tatu di bahagian tepi mukanya yang sedang pudar.

"Saya cuba berkelakuan seperti biasa tetapi orang ramai memperhatikan saya."

'BUANG TATU DAN TAUBAT'

Kerjaya Widodo kini jauh berbeza daripada kehidupannya dahulu sebagai pencacah tatu yang berjaya di Bali, di mana ramai lelaki tempatan mempunyai tatu dan hal itu tidak dipandang serong.

Para pelanggannya yang ingin mempunyai tatu meminta bermacam-macam rekaan daripada nama saudara-mara hingga ke rekaan dari berkurun-kurun tahun yang lalu yang masih digunakan orang-orang asli di kepulauan Asia Tenggara.

Namun bagi Widodo titik peralihan muncul apabila beliau mendampingi agama dan memutuskan untuk menutup perniagaannya.

"Tatu dikaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti dadah dan berpesta-pesta," kata Widodo.

Sandi Widodo mengendalikan perniagaan membuang tatu pada harga murah. (Gambar: AFP)

"Tatu tidak dibenarkan dalam Islam kerana anda bukan sahaja menzalimi diri anda, tetapi ia juga mengubah ciptaan Tuhan," kata Huzaemah Tahido, pegawai Majlis Ulama Indonesia.

"Jika boleh, buang tatu anda dan bertaubat. Jika anda tidak dapat buang tatu anda kerana terlalu sakit, biarkan sahaja tetapi anda tetap harus bertaubat."

Namun bagi Renny Rengganis, seorang Muslim, beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertaubat mahupun membuang tatunya.

Malah, beliau mahu tatunya, yang menggambarkan seorang ibu dan anak lelaki, dibesarkan lagi. Ini meskipun tatu yang ada sekarang memenuhi tiga suku bahagian belakang badannya, dan beliau menerima tentangan daripada saudara-maranya.

'TINGGALKAN DOSA ANDA'

Bagi mereka yang menyesal akan tatu mereka, terdapat banyak klinik Indonesia yang menawarkan khidmat pembuangan tatu.

Sandi Widodo mengendalikan perniagaan membuang tatu pada harga murah. (Gambar: AFP)

Dahulu pencacah tatu, Sandi Widodo kini membantu golongan yang cuba menghilangkan tatu mereka. (Gambar-gambar: AFP)

Tetapi kebanyakan klinik mengenakan bayaran beberapa ribu dolar bagi rawatan berulang supaya ia dapat dihilangkan sepenuhnya. Ramai rakyat biasa Indonesia tidak mampu untuk membayar harga sedemikian.

Lantas, kedai-kedai pembuangan tatu yang lebih murah dibuka sejak beberapa tahun yang lalu, termasuk satu khidmat di Surabaya yang juga memerlukan pelanggan membaca ayat-ayat Al-Qur'an.  

Sumber : CNA/KN/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan