Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kecederaan Allahyarham Adib mungkin bukan disebabkan serangan

Doktor kanan sebuah hospital swasta yang merawat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam keterangan pada Khamis (21 Feb) berkata kecederaan yang dialami anggota bomba itu mungkin bukan diakibatkan oleh serangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kecederaan Allahyarham Adib mungkin bukan disebabkan serangan

Anggota bomba Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Diterbitkan : 22 Feb 2019 12:17PM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 12:20PM

SHAH ALAM: Doktor kanan sebuah hospital swasta yang merawat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam keterangan pada Khamis (21 Feb) berkata kecederaan yang dialami anggota bomba itu mungkin bukan diakibatkan oleh serangan.

Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Anand Sachithanandan bagaimanapun berkata antara beberapa kecederaan di bahagian sebelah kanan dada itu, berkemungkinan akibat kemalangan, jatuh dari tempat tinggi, libasan atau rempuhan.

"Sebenarnya beliau mengalami trauma tumpul pada bahagian dada, dan mekanisme yang mungkin membawa kepada kecederaan, mungkin akibat kemalangan, jatuh dari tempat tinggi, libasan dan rempuhan,” kata doktor itu.

Beliau berkata demikian semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zhafran Rahim Hamzah, yang juga pegawai yang menjalankan siasatan berhubung kematian Muhammad Adib.

Zhafran: Boleh anda bezakan sama ada dia diserang atau dilanggar?

Dr Anand: Mustahil untuk menyatakannya dengan tepat.

"Saya dapati agak luarbiasa.. biasanya terdapat luka akibat mempertahankan diri, tapi ia tidak kelihatan di sini," katanya.

Dr Anand juga berkata SJMC memutuskan untuk memindahkan arwah Muhammad Adib ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mereka tidak mempunyai mesin yang boleh merawat kecederaan paru-paru.

“Kami berkongsi penemuan-penemuan kami dan memberikan maklumat kepada doktor di IJN berhubung laporan imbasan,” katanya.

Semasa ditanya TPR Fatin Haidini Khairuddin sama ada beliau melihat sebarang kesan lebam di bahagian dada anggota bomba itu, beliau berkata: “Tidak”.

"Sepanjang pengetahuan saya, tidak… fokus utama saya adalah kepada kecederaan dada,” katanya.

Arwah Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad akan bersambung pada Isnin.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan