Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap Delta didapati merosot di rumah jagaan AS

Meskipun keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap jangkitan ringan berkurangan, ia kekal lebih 90% bagi elakkan pesakit alami gejala teruk.

Anggaran Waktu Membaca:
Keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap Delta didapati merosot di rumah jagaan AS

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 08:49AM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 08:50AM

WASHINGTON: Keberkesanan vaksin COVID-19 dalam kalangan penghuni rumah jagaan dan kemudahan jagaan jangka panjang di Amerika Syarikat, di mana ramai penghuninya lanjut usia dan lemah, didapati merosot sejak varian Delta menjadi dominan di negara itu.

Demikian menurut para penyelidik pemerintah pada Rabu (18 Ogos) .

Sekalipun demikian, vaksin masih sangat berkesan untuk mencegah penyakit yang cukup parah sehingga memerlukan penghidapnya dibawa ke hospital, menurut kajian yang diterbitkan dalam Laporan Morbiditi dan Kematian Mingguan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit, yang menurut data CDC bulan lalu membentuk lebih 80 peratus jangkitan baru di Amerika Syarikat, menyulitkan usaha memerangi pandemik di negara itu dan di seluruh dunia.

Para pengkaji CDC membandingkan data mingguan daripada 3,862 rumah jagaan dan kemudahan jagaan jangka panjang dari 1 Mac hingga 9 Mei, sebelum Delta tersebar luas, dengan data daripada 14,917 kemudahan tersebut yang meliputi tempoh 21 Jun hingga 9 Ogos, apabila varian tersebut menyumbang kepada kebanyakan jangkitan baru.

Mereka mendapati bahawa keberkesanan vaksin dua dos daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk mencegah jangkitan koronavirus - ringan atau teruk - merosot daripada 74.7 peratus kepada 53.1 peratus. Anggaran keberkesanan adalah serupa bagi kedua-dua vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, kata mereka.

Penemuan kajian baru itu ditukil oleh pegawai kesihatan persekutuan pada Rabu dalam pengumuman mereka bahawa suntikan perangsang vaksin COVID-19 akan disediakan secara meluas untuk warga Amerika Syarikat mulai 20 September, dengan perlindungan daripada vaksinasi awal semakin berkurangan.

Kumpulan pertama yang akan menerima suntikan rangsangan termasuk penghuni rumah jagaan dan warga emas lain, serta mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dalam kajian kedua, pegawai Jabatan Kesihatan Wilayah New York mendapati setakat lewat Julai, 65 peratus penduduk dewasa New York sudah divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos suntikan Pfizer-BioNTech atau Moderna atau satu dos suntikan Johnson & Johnson.

Kajian itu mendapati antara awal Mei hingga lewat Julai, keberkesanan vaksin untuk mencegah jangkitan baru merosot daripada 91.7 peratus kepada 79.8 peratus. Keberkesanan vaksin untuk mencegah kemasukan ke hospital tetap stabil, antara 91.9 peratus hingga 95.3 peratus.

Keberkesanan vaksin dua dos terhadap kemasukan ke hospital kekal sekurang-kurangnya enam bulan, menurut kajian berasingan oleh penyelidik di 18 wilayah Amerika Syarikat yang menyemak data 3,089 pesakit yang dimasukkan ke hospital, termasuk 1,194 dengan COVID-19.

Keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital adalah 86 peratus antara dua dengan 12 minggu sejak penerimaan dos vaksin kedua. Kajian itu mendapati lagi bahawa kadarnya adalah 84 peratus bagi tempoh antara 13 hingga 24 minggu, tanpa perubahan ketara dalam tempoh ini. Selepas enam bulan penuh, mereka mendapati ia adalah 90 peratus dalam kalangan orang dewasa yang tidak mempunyai masalah imun sistem terganggu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan