Images
  • msia covid
    Gambar fail para pekerja jagaan kesihatan di Malaysia membuat saringan COVID-19. (Gambar: Noor Hisham Abdullah/ Facebook

Kebanyakan kes kematian COVID-19 M'sia lewat dapatkan rawatan: Ketua Pengarah Kesihatan

PUTRAJAYA: Kebanyakan kematian berkaitan COVID-19 di Malaysia berlaku berikutan lewat menerima rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat lima peringkat jangkitan COVID-19 tetapi kebanyakan mereka datang ke hospital ketika mereka sudah berada di peringkat ketiga.

“Peringkat pertama ialah apabila seseorang itu asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) tetapi positif, manakala peringkat kedua adalah positif dengan gejala ringan dan peringkat ketiga apabila pesakit mempunyai masalah pneumonia tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen.

“Peringkat keempat, pesakit memerlukan terapi oksigen dan peringkat terakhir (peringkat kelima) apabila pesakit tidak boleh bernafas dengan baik dan kita perlu intubat (memasukkan tiub) dan menggunakan ventilator,” katanya dalam taklimat media pada Selasa (24 Mac).

Dr Noor Hisham juga menjelaskan kebanyakan pesakit pada peringkat keempat, kesihatan mereka cepat merosot dan akan mudah berada di peringkat kelima.

Contohnya kematian terbaru, pesakit telah mengalami kesukaran bernafas tiga hari yang lepas, katanya.

Dr Noor Hisham berkata selain lewat menerima rawatan, umur dan komorbiditi (dua atau lebih penyakit yang dihadapi secara serentak) juga antara faktor yang menyumbang kepada kematian berkaitan COVID-19.

“Beberapa kes kematian mempunyai komorbiditi dan kebanyakan mereka berusia lebih 70 tahun," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan akan meningkatkan aktiviti pengesanan kes.

“Bermakna kami akan mencari kes, kami akan menguji kes itu dan jika ia disahkan, kami akan asingkan kes dan memberi rawatan.

“Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk melihat kumpulan fokus. Contohnya, sekarang kita tahu 60 peratus yang dijangkiti adalah kumpulan tabligh, kami akan pergi mencari mereka dan menguji mereka,” katanya dan menambah ia bagi memastikan individu dalam kumpulan itu tidak menjangkiti orang lain. 

- BERNAMA/HA/ha

Top