Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kebakaran pusat tahfiz M'sia: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 penghuni

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin (17 Ogos) memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran pusat tahfiz M'sia: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 penghuni

Gambar fail Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Aug 2020 07:11PM Dikemas Kini : 17 Aug 2020 07:21PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin (17 Ogos) memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.
“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, " kata Hakim Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih bawah umur semasa kejadian, beliau mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 semasa menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam rayuannya berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Hakim Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

TIDAK BERTINDAK SENDIRIAN

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sep 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan pesalah bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan