Images
  • wildfires
    Pegawai bomba Los Angeles bertarung untuk memadamkan api kebakaran yang kian marak di Sylmar, California, Amerika Syarikat pada 10 Oct 2019. (Gambar: Gene Blevins
/REUTERS)

Kebakaran hutan merebak di California; puluhan ribu penduduk dipindahkan

LOS ANGELES: Kebanyakan kawasan di California diletakkan dalam keadaan siap siaga peringkat tinggi pada Jumaat (11 Okt) apabila kebakaran hutan melanda bahagian selatan negeri itu, memaksa puluhan ribu penduduk untuk berpindah dan menyebabkan beberapa prasarana dan rumah musnah.

Pegawai bomba berkata seorang wanita berusia 89 tahun meninggal dunia di Calimesa, kira-kira 115 kilometer ke timur Los Angeles, apabila kebakaran berlaku semalaman di tempat letak treler selepas pemandu lori sampah yang dijilat api membuang sampah yang masih terbakar di lokasi berhampiran.

Seorang lagi lelaki dalam lingkungan usia 50-an tahun meninggal dunia pada Khamis (10 Okt) pada sebelah malam akibat serangan jantung ketika bercakap dengan anggota bomba yang menangani kebakaran hutan di Saddleridge di San Fernando Valley, kira-kira 32 kilometer ke utara pinggir bandar Los Angeles, kata pegawai bomba.

Api marak dari seluas 24 hektar kepada 3,035 hektar menjelang tengah hari, memaksa arahan pemindahan dikeluarkan kepada lebih 100,000 penduduk.

Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Ralph Terrazas, berkata kebakaran yang bermula lewat Khamis di bandar Sylmar diburukkan lagi oleh keadaan kering dan angin kencang yang dikenali sebagai angin Santa Ana.

 “Api amat marak. Jangan berlengah untuk berpindah," kata Terrazas di satu sidang media.
“Jika kami meminta anda berpindah, segera berbuat demikian."

Beliau menambah sekitar 1,000 anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal 13 peratus menjelang tengah hari dan memaksa beberapa lebuh raya utama ditutup. Perkhidmatan kereta api bawah tanah juga ditutup selain sekolah dan perniagaan.

Sekurang-kurangnya 15 bangunan musnah dalam kebakaran yang belum diketahui puncanya. 

- AFP/FZ/fz

Top