Images
  • sungai kim kim
    Kerja-kerja pembersihan diteruskan bagi membersihkan baki 900 meter kawasan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim. (Gambar: Bernama)

Kawasan pembuangan sisa toksik sepanjang 680 meter dibersihkan dalam operasi 24 jam

JOHOR BAHRU: Kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta bertungkus lumus bagi memastikan pencemaran sisa toksik di sungai berkenaan dapat dikekang daripada merebak.

Mereka yang terlibat dalam operasi pembersihan adalah pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Nyah Cemar Kimia, Biologi, Radilogikal dan Nuklear (CBRN) yang ditubuhkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta beberapa syarikat swasta serta tiga kontraktor yang dilantik.

Mereka yang turun ke kawasan sungai berkenaan seawal pukul 7.00 pagi Jumaat (15 Mac) dilihat bertungkus lumus menanda kawasan, memeriksa kadar pencemaran sungai dan udara, menyediakan peralatan yang digunakan sambil memakai pakaian dan kelengkapan yang secukupnya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Yeo Bee Yin berkata, sehingga petang semalam (15 Mac), pasukan pembersihan sudahpun berjaya membersih kawasan terjejas paling teruk, iaitu sejauh 680 meter di Sungai Kim Kim iaitu di kawasan pembuangan berlaku.

Cik Yeo berkata kontraktor yang dilantik akan terus melakukan kerja-kerja pembersihan selama 24 jam dan terdapat baki 900 meter lebih lagi yang perlu diselesaikan.

"Ini adalah perjalanan kerja yang baik dan kita kalau boleh ingin percepatkan namun pada masa yang sama akan membuat pemantauan jika ada kemungkinan ada gas keluar ketika kerja pembersihan di jalankan," katanya.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa saintifik diharapkan dapat mengumpul data akibat pencemaran sisa bahan kimia supaya dapat mengelak perkara yang sama berulang.

Sementara itu, salah seorang daripada kontraktor yang dilantik berkata seramai 60 orang bertugas 24 jam bagi memastikan pembersihan sungai dapat diselesaikan mengikut jadual.

Kerja-kerja pembersihan bukan sahaja tertumpu kepada pencemaran semata-mata, tetapi keseluruhan pembersihan termasuk dasar sungai.

Sementara itu, CBRN yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 33 anggota juga komited dalam menjalankan tugas pembersihan.

- BERNAMA/AI/ai

Top