Images
  • melaka covid-19
    (Gambar: Bernama)

Kawalan pergerakan bersyarat di Kedah, Melaka, Johor, Terengganu tamat hari ini

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu ditamatkan hari ini (21 Nov), ekoran penilaian risiko jangkitan COVID-19 yang berkurangan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sebagaimana yang diumumkan sebelum ini mengenai penamatan PKPB di kebanyakan negeri, keputusan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan kepada trend penurunan kes positif COVID-19 serta keadaan yang terkawal di negeri-negeri berkenaan.

Bagi Kedah, beliau berkata PKPB ditamatkan kecuali bagi daerah Kulim yang masih mencatatkan 23 kes aktif COVID-19, manakala bagi seluruh Kedah pula sejumlah 85 kes positif direkodkan sehingga 18 Nov.

Di Melaka, beliau berkata sejak 5 Nov sebanyak 61 kes positif COVID-19 dilaporkan di seluruh negeri, manakala pada 18 Nov terdapat penurunan kes positif kepada 48 kes dan situasi penularan jangkitan didapati terkawal.

Mengulas lanjut, Encik Ismail Sabri berkata di Johor pula kes positif COVID-19 yang direkodkan sehingga 5 Nov adalah 82 kes serta mencatatkan penurunan pada 16 Nov, membolehkan PKPB ditamatkan, kecuali di daerah Kota Tinggi dan Mersing dengan masing-masing merekodkan 36 dan lapan kes positif.

Mengenai penamatan PKPB di Terengganu, beliau berkata keadaan di negeri itu juga terkawal dengan hanya 19 kes positif COVID-19 direkodkan pada 17 Nov serta tiada kes sporadik dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

Encik Ismail sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis. Sehingga kini negeri-negeri yang masih dikenakan PKPB adalah Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan. 

Pada sidang media pada Jumaat (20 Nov), Encik Ismail mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Anjung Teduh, Felda Sahabat di Lahad Datu yang sebelum ini dilanjutkan dari 6 Nov hingga Jumaat (20 Nov).

“KKM telah menjalankan 3,743 saringan dan mendapati 89 kes positif COVID-19 di lokaliti ini. Justeru, atas nasihat KKM, sidang khas bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu seperti dijadualkan,” katanya.

Walaupun PKPB di keempat-empat negeri serta PKPD di Anjung Teduh ditamatkan, Encik Ismail Sabri menegaskan kesemua negeri terbabit masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang masih berkuat kuasa ketika ini di kebanyakan negeri lain.

Ditanya mengenai mahasiswa universiti yang masih berada di kampus termasuk di Sabah, Ismail Sabri berkata mereka digalakkan untuk terus kekal di kampus masing-masing dan tidak pulang ke kampung halaman buat masa ini. 

“Tempoh pengajian kini masih berlangsung dan mahasiswa akan lebih selamat sekiranya berada di dalam kampus yang tidak terdedah dengan jangkitan COVID-19… saya difahamkan cuti pengajian hanya akan bermula pada bulan Januari atau Februari, mereka kini masih dalam tempoh pembelajaran. 

“Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menghadkan perjalanan mereka sekiranya ingin pulang. Mereka perlu patuh SOP,” katanya. 

- BERNAMA/HA/ha

Top