Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kaum minoriti Utsul sasaran terbaru kempen Parti Komunis China

Pihak berkuasa sudah menutup sekolah-sekolah agama dan sudah dua kali mencuba mengharamkan pelajar perempuan daripada memakai tudung.

Anggaran Waktu Membaca:
Kaum minoriti Utsul sasaran terbaru kempen Parti Komunis China

Sebuah masjid di Sanya. (Gambar: New York Times/YODAY)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 11:30AM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 12:01PM

SANYA, China: Laungan azan masih kedengaran di lorong-lorong Sanya, iaitu di kejiranan Muslim yang berusia hampir 1,000 tahun.

Tindakan keras pemerintah negara itu ke atas masyarakat Muslim bagaimanapun tidak begitu ketara di bandar bahagian selatan China itu.

Papan-papan tanda di kedai-kedai dan rumah-rumah yang tertera "Allahu Akbar", ditutup dengan pelekat yang tertera slogan rasmi nasional: "China Dream".

Tulisan bahasa Cina bagi perkataan halal juga sudah dipadamkan daripada restoran dan menunya.

Pihak berkuasa sudah menutup sekolah-sekolah agama dan sudah dua kali mencuba mengharamkan pelajar perempuan daripada memakai tudung.

Utsul, iaitu masyarakat tidak lebih 10,000 anggota Muslim di Sanya, adalah antara yang terbaru menjadi sasaran kempen Parti Komunis China terhadap pengaruh dan agama asing.

Masalah yang membelenggu mereka menunjukkan bagaimana Beijing sedang berusaha untuk melunturkan identiti agama masyarakat Muslim meskipun mereka adalah minoriti dan jumlahnya kecil. Semua ini adalah usaha untuk memperkukuh budaya China, di mana etnik Han adalah masyarakat majoriti.

Sekatan-sekatan baru di Sanya, sebuah bandar di pulau resort Hainan, menandakan perubahan yang berlawanan pada dasar pemerintah.

Sehingga beberapa tahun yang lalu, para pegawai menyokong identiti Islam masyarakat Utsul dan hubungan mereka dengan negara-negara Islam, menurut para pemimpin agama dan penduduk tempatan, yang bercakap dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan untuk mengelak tindak balas pemerintah.

Menurut parti itu, sekatan-sekatannya ke atas Islam dan masyarakat Muslim bertujuan untuk membendung fahaman pelampau dan keganasan agama yang ekstrem.

Rasional itu digunakan untuk mewajarkan kawalan ketat ke atas Muslim di wilayah barat China, di Xinjiang, menyusuli serangan-serangan yang dilancarkan tujuh tahun lalu.

Sekalipun demikian, tindakan ke atas Sanya tidak begitu ketara.

Kawalan yang diperketatkan ke atas masyarakat Utsul "mendedahkan keadaan sebenar kempen Komunis China terhadap masyarakat tempatan," kata Dr Ma Haiyun, seorang penolong profesor di Universiti Frostburg State di Maryland yang mendalami Islam di China.

"Ini adalah percubaan memperketatkan kawalan ke atas wilayah itu. Hakikatnya ia anti-Islam."

Pemerintah China sudah berkali-kali menafikan bahawa ia menentang Islam. Tetapi di bawah kepimpinan Encik Xi Jinping, parti itu sudah merobohkan masjid-masjid, tapak-tapak purna dan kubah serta menara di barat laut dan tengah China.

Tindakan kerasnya tertumpu kepada masyarakat Uighur, minoriti Muslim di Asia Tengah, dengan 11 juta penduduk di Xinjiang. Kebanyakannya ditahan beramai-ramai di kem-kem tahanan dan dipaksa keluar daripada Islam.

Usaha untuk "membudayakan China dalam Islam" dipergiatkan pada 2018 setelah Majlis Negara, kabinet China mengeluarkan perintah sulit bagi mengarahkan para pegawai supaya mencegah agama itu daripada bercampur aduk dengan kehidupan sekular serta fungsi negara.

Arahan itu memberi amaran terhadap "Arabisasi" dan pengaruh Arab Saudi atau dipanggil 'Saudi-isation', di masjid-masjid dan sekolah-sekolah.
Di Sanya, parti itu menjadikan sebuah kumpulan berpengaruh dalam hubungan China dengan dunia Islam sebagai sasarannya.

Masyarakat Utsul pernah menjadi tuan rumah kepada Muslim dari merata China yang datang dari wilayah Hainan dan mereka menjadi jambatan kepada masyarakat Muslim Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Identiti masyarakat Islam Utsul diraikan selama bertahun-tahun oleh pemerintah sedang China mengukuhkan jalinan hubungan lebih kukuh dengan Dunia Arab.

Jalinan sedemikian menjadi kunci Inisiatif
Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China, iaitu program untuk membiayai projek-projek prasarana di merata dunia dan meningkatkan pengaruh politik Beijing melalui proses itu.

Masyarakat Utsul sudah menjadi "pangkalan penting bagi umat Islam yang berpindah dari luar negara untuk mencari jati diri dan menyusur galur salasilah keturunan mereka," menurut notis pemerintah pada 2017 yang menjulang Islam di Hainan dalam pelan Jaluran Ekonomi Laluan Sutera itu.

Sehingga hari ini, mereka menerima ribuan ulama dan rakan-rakan daripada puluhan negara dan rantau dan merupakan batu loncatan penting bagi pertukaran budaya dalam kalangan penduduk di sekitar Laut China Selatan.

Meskipun secara rasmi dilabel sebagai sebahagian daripada etnik minoriti terbesar di China, masyarakat Utsul melihat diri mereka berbeza daripada masyarakat-masyarakat Muslim lain di negara itu.

Mereka adalah masyarakat Muslim Sunni, yang dipercayai daripada keturunan Cham, kaum nelayan dan pedagang Kerajaan Champa, yang memerintah berkurun lamanya di tengah Vietnam dan kawasan pantai di bahagian selatan negara itu.

Bermula seawal abad ke-10, para pelarian Cham melarikan diri daripada perang di tempat yang kini dikenali sebagai bahagian tengah Vietnam dan berpindah ke Hainan, iaitu sebuah pulau tropika yang saiznya sama dengan Maryland.

Selama berkurun-kurun, masyarakat Utsul mengekalkan hubungan kukuh dengan Asia Tenggara dan terus mengamalkan Islam tanpa gangguan.

Sekalipun demikian, Revolusi Budaya pada lewat 1960-an dan awal 1970-an, Pengawal Merah China yang taat setia kepada Mao Zedong memusnahkan masjid-masjid di perkampungan Utsul, seperti masjid-masjid lain di merata China.

Sedang China membuka pintunya kepada dunia pada awal 1980-an, masyarakat Utsul menghidupkan semula tradisi Islam.

Kebanyakan keluarga kembali menjalin hubungan yang terputus dengan saudara-mara di Malaysia dan Indonesia, termasuk mantan perdana menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi, yang mana datuk sebelah ibunya merupakan anggota masyarakat Utsul yang membesar di Sanya.

Sehingga ke hari ini, sebahagian besar masyarakat Utsul, yang dikenali sebagai Utsats, bertutur menggunakan loghat bahasa daerah yang serupa dengan di sebahagian daerah di Vietnam dan Kemboja, selain China.

Kaum wanita memakai tudung berwarna warni, kadangkala bermanik atau bersulam, menutup rambut, telinga dan leher mereka, dengan gaya yang serupa seperti kaum wanita di Malaysia.

Encik Yusuf Liu, seorang penulis dari China-Malaysia yang mengkaji tentang masyarakat Utsul berkata masyarakat itu berupaya memelihara jati diri mereka kerana sudah begitu lama terasing secara geografi dan mereka terus berpegang teguh kepada amalan dan ajaran agama mereka.

Beliau menambah masyarakat Utsul serupa dengan kebanyakan orang Melayu.

"Mereka berkongsi ciri-ciri sama termasuk bahasa, pakaian, sejarah, pertalian darah dan makanan," kata Encik Liu. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan