Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Karipap percuma untuk wanita hamil; tiga beradik ini teruskan warisan ibu

Menjual sambil beramal. Itulah amalan peniaga tiga beradik yang meneruskan tradisi ibu mereka yang memberi kuih secara percuma kepada wanita hamil sepanjang Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:
Karipap percuma untuk wanita hamil; tiga beradik ini teruskan warisan ibu

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)

Diterbitkan : 14 May 2019 06:35PM Dikemas Kini : 14 May 2019 06:43PM

JITRA: Menjual sambil beramal. Itulah amalan peniaga tiga beradik yang meneruskan tradisi ibu mereka yang memberi kuih secara percuma kepada wanita hamil sepanjang Ramadan.

Menurut Mohd Shaiful Hafiq Mohd Hadir, 27 tahun, dia bersama dua lagi adiknya, Mohd Zulfadhly, 24 tahun, dan Mohd Hashiff, 19 tahun, meneruskan tradisi ibunya sejak 18 tahun lalu sebagai tanda syukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada keluarganya, menurut laporan Harian Metro.

Mohd Shaiful berkata, sejak mengambil alih perniagaan ibunya, Hafizah Abu Hassan, 52 tahun, setahun lalu, mereka tiga beradik memperuntukkan 500 karipap untuk wanita mengandung di 13 cawangan gerai seluruh negeri.

“Ibu selalu pesan, jika mahu berniaga, jangan hanya fikir untung saja, perniagaan dilakukan mesti memberi manfaat kepada orang lain juga, kalau tak lebih baik jangan berniaga.

“Sebagai insan yang melahirkan kami, nasihat ibu itu kami pegang dan kami putuskan untuk memberi kepada wanita mengandung iaitu di lima cawangan di bazar Ramadan dan lapan cawangan di tepi jalan di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Taman Suria di Jitra, Kedah.

Laporan Harian Metro melaporkan Mohd Shaiful sebagai berkata, setiap hari seorang ibu mengandung mendapat tiga biji kuih itu dan sekurang-kurangnya lima ibu mengandung singgah mendapatkan karipap berinti daging dan ayam secara percuma.

Mohd Shaiful menambah, resipi karipap diwarisi sejak turun-temurun menjadikan kuih itu istimewa dengan aroma rempah giling yang wangi selain minyak yang cepat meresap di bahagian kulitnya sebaik ia siap digoreng.

“Setiap hari, 11,000 karipap terjual, Alhamdulillah rezeki kami tidak pernah putus, sebagai orang Islam kita tidak boleh takut bersedekah kerana amalan itu yang menjemput rezeki,” katanya yang tinggal di Kampung Padang di Jitra.

Sementara itu, seorang pelanggan, Halimatul Fazliyana Harun, 23, yang mengandung memuji langkah tiga beradik itu yang menghargai wanita mengandung, menurut Harian Metro.

“Pada hari pertama Ramadan lalu, saya dapat karipap percuma dari cawangan sama di bazar Ramadan Changlun tetapi tidak sangka apabila ke bazar Taman Suria mereka melakukan perkara sama untuk wanita mengandung."

“Saya berterima kasih kepada mereka yang menghargai pengorbanan seorang ibu yang melahirkan mereka sebelum ini, usaha murni itu wajar dipuji dan dicontohi orang lain,” katanya.

Sumber : Agensi berita/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan