Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Karbon dioksida di udara catat tahap tertinggi sejak ukuran dimulakan 63 tahun lalu

Walaupun terdapat penurunan besar dalam aktiviti perjalanan dan banyak kegiatan komersil pada bulan-bulan awal sejak pandemik bermula, jumlah karbon di atmosfera Bumi pada Mei mencapai tahap tertinggi dalam sejarah moden. Ini berdasarkan satu dapatan para saintis yang diterbitkan pada Isnin (7 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Karbon dioksida di udara catat tahap tertinggi sejak ukuran dimulakan 63 tahun lalu

Los Angeles dicengkam kejadian kebakaran liar pada 28 Januari 2021 sedang pandemik COVID-19 berlarutan. (Gambar: Lucy Nicholson/REUTERS)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 10:56AM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 10:57AM

WASHINGTON: Walaupun terdapat penurunan besar dalam aktiviti perjalanan dan banyak kegiatan komersil pada bulan-bulan awal sejak pandemik bermula, jumlah karbon di atmosfera Bumi pada Mei mencapai tahap tertinggi dalam sejarah moden. Ini berdasarkan satu dapatan para saintis yang diterbitkan pada Isnin (7 Jun).

Menurut para saintis dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA) serta Institusi Oseanografi Scripps di Universiti California San Diego, dapatan itu adalah yang tertinggi sejak pengukuran mula dilakukan 63 tahun lalu. Dapatan itu berdasarkan kandungan karbon dioksida dalam udara di stesen cuaca NOAA di Mauna Loa, Hawaii.

Ukuran itu, yang dipanggil 'Keeling Curve' sempena Charles David Keeling iaitu saintis yang mula mengesan karbon dioksida di sana pada tahun 1958, adalah penanda aras global bagi kadar karbon atmosfera.

Peralatan-peralatan yang dipacak dekat balai cerap di puncak gunung NOAA mencatatkan karbon dioksida kira-kira 419 bahagian bagi setiap juta pada bulan lalu, lebih tinggi berbanding 417 bahagian bagi setiap juta pada Mei 2020.

Oleh kerana karbon dioksida adalah pemacu utama perubahan iklim, dapatan itu menunjukkan bahawa mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, penebangan hutan dan amalan-amalan lain yang menyebabkan pengeluaran karbon perlu menjadi keutamaan penting bagi mengelakkan bahana bencana. Demikian menurut Pieter Tans, seorang saintis di Makmal Pemantauan Sejagat NOAA, dalam satu laporan mengenai pengeluaran karbon.

“Kita menambah sekitar 40 bilion metrik tan pencemaran CO2 kepada atmosfera setiap tahun," tulis Tan. "Itu adalah segunung karbon yang kita gali keluar daripada Bumi, bakar dan lepaskan ke dalam atmosfera sebagai CO2 tahun demi tahun."

Menurut laporan itu lagi, jumlah karbon di udara sekarang adalah sebanyak yang ada empat juta tahun yang lalu. Ketika itu, paras laut adalah 24 meter lebih tinggi daripada sekarang dan suhu purata adalah empat darjah Selsius lebih tinggi berbanding sebelum Revolusi Perindustrian.

Meskipun perintah berkurung akibat pandemik dilaksanakan, menurut laporan itu, para saintis tidak dapat menyaksikan kemerosotan dalam jumlah karbon di udara sebahagiannya disebabkan oleh kebakaran hutan yang juga melepaskan karbon serta sifat semula jadi karbon dalam atmosfera.

Tan berkata tahap karbon dioksida yang diukur tidak terjejas oleh letusan gunung-gunung berapi di Hawaii. Beliau menambah stesen cuaca itu terletak cukup jauh dari gunung-gunung berapi aktif sehingga pengukuran tidak terganggu dan sebilangan besar karbon dioksida yang dilepaskan sekali-sekala dikecualikan daripada kiraan data.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan