Images
  • Ever GIven
    Ever Given, salah satu kapal kontena paling besar di dunia. (Gambar fail: REUTERS/Mohamed Abd El Ghany)

Kapal tersangkut di Terusan Suez: Mesir mahu ganti rugi diselesaikan luar mahkamah

MESIR: Ketua Penguasa Terusan Suez pada Selasa (6 Apr) berkata pihak berkuasa sedang merundingkan isu pampasan dengan pemilik kapal kontena besar yang tersangkut dan menyekat nadi utama perdagangan global berkenaan selama hampir seminggu.

Leftenan Jeneral Osana Rabie memberitahu Associated Press beliau berharap rundingan dengan Shoei Kisen Kaisha, pemilik kapal Ever Given dari Jepun itu, akan dimuktamadkan tanpa tuntutan mahkamah.

"Kami sedang berbincang dengan mereka untuk mencapai huraian secara aman berhubung perkara itu tanpa perlu ke mahkamah," kata beliau.

Beliau menegaskan bahawa membawa kes itu ke mahkamah akan lebih menimbulkan bahaya kepada firma itu daripada membuat pembayaran kepada pihak pengurusan terusan.

Ketua terusan itu minggu lalu menyatakan Penguasa Terusan Suez menjangkakan ganti rugi lebih AS$1 bilion (S$1.34 bilion), sambil memberi amaran bahawa kapal itu tidak akan dibenarkan meninggalkan terusan jika isu pembayaran bertukar menjadi pertikaian undang-undang.

Jumlah itu termasuk operasi mengapungkan semula kapal Ever Given, kos bagi trafik yang terkandas di terusan dan kehilangan yuran transit bagi tempoh kapal tersebut tersangkut di sana.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab membayar pampasan itu.

Kapal kargo besar itu sekarang berada di salah satu tasik simpanan terusan itu, di mana pihak berkuasa dan pengurus kapal berkata siasatan sedang dijalankan.

Encik Rabie juga semalam mengatakan bahawa para penyiasat sudah menganalisa data daripada Perakam Data Kapal, yang djuga diketahui sebagai kotak hitam kapal. Namun tiada kesimpulan dibuat sejauh ini. 

- AP/NK/nk

Top